Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paip pecah henti pengaliran minyak mentah di Ecuador

    QUITO, 17 JUN – Syarikat tenaga milik kerajaan Ecuador, Petroecuador, mengumumkan bahawa mereka telah menghentikan pengaliran minyak melalui saluran paip utama negara selepas satu keretakan dikesan di bahagian yang merentasi kawasan Amazon.

    Dalam satu kenyataan, Petroecuador menyatakan, “Injap-injap telah ditutup dan pengaliran minyak telah digantung.”

    Keretakan itu dipercayai berpunca daripada tanah runtuh, namun belum dapat dipastikan sama ada berlaku tumpahan minyak.

    Setakat semalam, syarikat tersebut menyatakan mereka tidak menjangkakan penutupan telaga minyak buat masa ini.

    Paip minyak yang dikenali sebagai Trans-Ecuadorian pipeline ini mempunyai kapasiti sehingga 360,000 tong sehari.

    Insiden itu menyusuli satu lagi tumpahan besar pada Mac lalu, melibatkan lebih 25,000 tong minyak di wilayah pantai barat laut Esmeraldas.

    Minyak merupakan eksport utama Ecuador. Pada tahun 2024, negara itu menghasilkan purata 475,000 tong minyak mentah setiap hari, dan lebih 70 peratus daripadanya dieksport – hampir separuh ke Amerika Utara.

    Tahun lalu sahaja, Ecuador meraih pendapatan sebanyak AS$8.6 bilion hasil eksport minyak mentah. – AFP

    Gambar fail menunjukkan pekerja membaiki saluran paip minyak yang dikendalikan oleh Petroecuador di sebelah jalan di Shushufindi, di Wilayah Sucumbios, Ecuador pada 7 Januari 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda