Wednesday, April 2, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paip PVC punya pelbagai kegunaan

    Oleh Amri HTZ

    Dalam mengekalkan privasi sesebuah kawasan rumah, pada kebiasaannya ia akan didirikan dengan dinding atau pagar bagi menghalang kemasukan mahupun pandangan daripada orang luar.

    Mendirikannya bukanlah bermaksud mengasingkan diri daripada masyarakat namun bertujuan sebagai keselesaan diri sendiri.

    Pelbagai pendekatan diambil dengan merekanya menggunakan konkrit, besi atau kayu, tetapi percaya atau tidak, paip PVC juga boleh digunakan terutama untuk menutupi kawasan kecil sekali gus bagi menghiasi ruangan rumah.

    Barangan penting perlu disediakan

    Bagi mereka pagar kecil daripada paip PVC ini, barangan yang perlu disediakan lebih awal ialah paip PVC pelbagai saiz, gergaji besi manual atau mesin pemotong jenis milter, gam silikon berwarna lut sinar, alas kerja (melindungi permukaan daripada kekotoran), tukul, rod besi berdiameter 10 hingga 15mm, kertas pasir berukuran 120 grit, gam PVC, pita pengukur, PVC jenis elbow dan tee.

    Gosok dan potong PVC

    Sebelum memulakan proses pemotongan paip PVC menjadi bahagian-bahagian kecil, langkah pertama adalah menggosok permukaan paip menggunakan kertas pasir berukuran 120 grit. Langkah menggosokkan permukaan paip menggunakan kertas pasir tersebut adalah bagi menghasilkan permukaan yang sedikit kasar bagi membolehkan sebarang gam yang disapukan menjadi lebih kukuh. Selain itu, ia juga berguna bagi menjadikan cat yang disemburkan tidak mudah terkopek.

    Proses mencantumkan potongan paip PC pada bahagian dalaman rangka pagar menggunakan silikon.
    Salah satu cara untuk memotong paip PVC dengan cepat dan efektif.
    Rangka pagar kecil dan potongan paip PVC yang telah disediakan.
    Rod besi yang dipasakkan ke dalam tanah merupakan cara mudah untuk mendirikan pagar yang direka.

    Bagi mempercepatkan proses menggosok permukaan, anda boleh menggunakan mesin orbital sander dengan menterbalikkannya ke atas dan memegang paip PVC sambil memutarkannya secara perlahan-lahan. Langkah memutarkan paip secara perlahan-lahan membolehkan keseluruhan permukaan paip digosok merata.

    Setelah menggosok keseluruhan permukaan kayu, anda bolehlah beralih ke langkah pemotongan paip PVC menjadi ukuran kecil iaitu kira-kira 1 3/16 inci.

    Ketebalan paip adalah tertakluk kepada ukuran paip utama (rangka pagar) dengan menyesuaikannya agar hasil akhir rekaan akan lebih seimbang. Tandakan ukuran menggunakan pita pengukur atau menyediakan satu potongan untuk dijadikan templat agar proses penandaan ukuran dilakukan lebih cepat dan tepat.

    Potong perlahan-lahan menggunakan gergaji besi atau pemotong khusus PVC.

    Proses memotong paip PVC dalam jumlah yang banyak setentunya memberikan cabaran yang cukup hebat. Bagi memastikan masa pembuatan dan tenaga yang dicurahkan dikurangkan, anda juga boleh menggunakan mesin pemotong jenis milter.

    Antara kebanyakan mesin pemotong, jenis tersebut merupakan yang paling sesuai dan selamat untuk digunakan.

    Ini kerana setiap potongan memandangkan ia berukuran kecil, ia cenderung untuk berlaku kick back jika menggunakan mesin jenis meja. Manakala penggunaan mesin bulat (circular saw), hasil pemotongan cenderung senget dan ukuran tidak konsisten.

    Langkah seterusnya ialah memotong bahagian paip untuk rangka pagar. Dua batang paip berukuran 1 ¼ inci dengan panjang 150sm (untuk bahagian sisi) dan dua batang paip berukuran sama dengan panjang 100sm (bahagian atas dan bawah) diperlukan untuk merekanya.

    Cantum rangka dan potongan PVC

    Kesemua bahagian potongan paip PVC yang tersedia akan dicantumkan satu persatu. Mulakan dengan mencantumkan paip bahagian rangka. Setiap sudut percantuman akan dipasangkan dengan elbow namun sebelum itu, permukaan cantuman perlulah terlebih dahulu disapukan dengan gam PVC. Pilih gam bersesuaian (lut sinar) agar hasil akhir tampak lebih baik.

    Sewaktu gam mengering, di mana anda hanya mempunyai beberapa minit sahaja, pastikan kedudukan elbow dalam keadaan betul agar tidak berlaku kesilapan dalam menentukan arah kedudukannya. Jika ia berlaku, menanggalkan cantuman tersebut boleh dikatakan mustahil kerana ia cukup kukuh kecuali gam berkualiti rendah. Untuk memastikan kesemua kedudukan dalam keadaan betul, lakukan proses cantuman satu persatu ketika gam sudah mengering.

    Dengan menempatkan rangka pagar dari PVC tersebut pada alas kerja, proses seterusnya mencantumkan potongan-potongan kecil PVC dengan menyusunkannya secara rawak daripada ukuran yang pelbagai.

    Walaupun pada awalnya ia mungkin nampak ganjil, namun setelah keseluruhan bahagian dalaman rangka dipenuhi dengan potongan PVC, ia akan menghasilkan satu karya yang luar biasa.

    Setiap sudut cantuman perlu disapukan dengan gam silikon kalis cuaca memandangkan ia akan ditempatkan di luar rumah.

    Bagi sesetengah pereka yang tidak inginkan warna asal paip PVC, mereka bolehlah menyemburkan cat pada permukaan paip tersebut memandangkan ia telah melalui proses penggosokan.

    Semburkan sekurang-kurangnya dua lapisan cat dengan memberikan masa untuk setiap lapisan mengering sebelum memberikan lapisan seterusnya.

    Setelah keseluruhan permukaan paip PVC dicat dan mengering, kini ia boleh didirikan di kawasan yang disasarkan. Untuk memastikannya berdiri, lubang paip bahagian bawah akan dimasukkan dengan rod besi yang telah dipacakkan ke dalam tanah dengan sekurang-kurangnya 1 ½ kaki dalam dan 1 ½ kaki di atas permukaan tanah.

    Jika kawasan di mana ia ditempatkan adalah di permukaan konkrit, maka anda perlu mereka kaki pagar tersebut juga menggunakan PVC dengan membentuk rangka empat segi dengan bahagian tengah bersambung dengan jenis tee bagi membolehkan sambungan untuk rangka asas. Walaupun terpaksa bekerja lebih untuk mereka bahagian kaki, namun ia cukup mudah alih yang boleh digunakan di mana sahaja sama ada luar rumah, mahupun di dalam untuk menghiasinya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda