Friday, October 18, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pais dan suman lemantak juadah minum petang istimewa

    KUCHING – Juadah pais dan suman lemantak yang dipadankan bersama secangkir teh atau kopi panas, menjadi antara menu minum petang yang menjadi kesukaan rakyat Bumi Kenyalang, khususnya masyarakat Melayu dan Melanau. 

    Hidangan berasaskan makanan laut seperti ikan, sotong dan udang itu dibakar di dalam bungkusan daun nipah atau dikenali sebagai “daun apong” oleh masyarakat tempatan, sekali gus membangkitkan aroma makanan berkenaan yang paling enak dijamah ketika masih panas.  

    Menurut pengusaha Pais Mak Dara Kampung Buntal, Nur Hedayah Fani, suman lemantak mempunyai rasa yang unik dengan kombinasi bahan seperti kelapa parut dan tepung sagu atau lemanta, manakala lauk pais pula menggunakan perapan daripada rempah-ratus. 

    “Kami menawarkan lebih 10 jenis lauk pais dan suman lemantak hasil resipi ibu saya sendiri dengan kesemuanya diperbuat daripada bahan segar yang diperoleh di Pasar Kampung Buntal. 

    “Cara pembuatannya memakan masa sebab perlu dibalut satu per satu … proses bermula pada waktu malam hingga 3 pagi untuk diperap dan ditumis, kemudian pukul 9 pagi akan sambung lagi untuk dimasak atas pemanggang api dan dijual, jadi makanan itu kekal segar dan berkualiti,” katanya kepada Bernama. 

    Pelanggan datang membeli juadah pais dan suman lemantak. – Bernama
    Gambar Bernama

    Nur Hedayah, anak jati Kampung Buntal yang berusia 27 tahun itu berkata seawal usia enam tahun lagi dia sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan mengikuti ibunya berjual pada setiap hujung minggu bermula 10 pagi hingga 6 petang. 

    Terletak hampir 30 kilometer dari bandar raya Kuching, Kampung Buntal juga dikenali sebagai perkampungan nelayan yang kaya dengan bekalan makanan laut segar dan difahamkan, suatu ketika dahulu, juadah pais serta suman lemantak sering kali dinikmati warga nelayan yang turun ke laut mencari rezeki. 

    Sudah menghampiri lima dekad Pais Mak Dara Kampung Buntal beroperasi, maka tidak hairanlah menu istimewa yang jarang ditemui itu mempunyai penggemarnya yang tersendiri, dengan lebih 600 keping pais dan suman lemantak boleh terjual dalam sehari.

    “Antara yang paling laris ialah suman lemantak udang, pais ikan tenggiri dan pais hati “parek” (pari)… selain itu, kita juga ada telur ikan yang diperap seterusnya dibakar di dalam daun apong seperti ikan terubuk, belangkas dan tenggiri,” katanya sambil merapikan bungkusan pais menggunakan lidi. 

    Ibu kepada dua anak ini berkata berikutan terdapat permintaan pelanggan dari luar kawasan kampungnya, dia mengambil keputusan untuk memperluas perniagaan dengan menjadi vendor di pesta makanan dan bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini pada 2017. 

    Nur Hedayah yang turut dibantu suaminya, Elwan Syawal, 31, berkata dia sekeluarga berharap untuk menjadikan menu berkenaan sebagai produk sejuk beku, seterusnya membawa makanan Sarawak itu ke pasaran Semenanjung Malaysia.

    “Makanan sebegini tak boleh dibiarkan lama di luar, jadi kami sedang berusaha untuk menjadikannya produk sejuk beku supaya pelanggan masih boleh makan segar-segar, hanya perlu panaskan terlebih dahulu,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda