HONG KONG – Di tengah-tengah Pasar Bunga Kowloon yang sibuk di Hong Kong, diselubungi kicauan dan nyanyian merdu burung-burung, awda akan temui salah seorang pembuat sangkar burung terakhir Hong Kong – Chan Lok-choi, juga dikenali sebagai ‘Pak Choi’.
Tukang mahir berusia 81 tahun itu memulakan perantisannya pada usia muda 13 tahun di bawah bimbingan bapa saudaranya, seorang pembuat sangkar burung terkenal. Sejak itu, dia menjadi mahir dalam seni membuat sangkar burung tradisional dan mencipta nama dalam industri itu.
Budaya memelihara burung dan membuat sangkar burung telah berakar umbi dalam masyarakat Hong Kong sejak tahun 1920an dan 1930an. Ia menjadi hobi penting bagi ramai warga Hong Kong dan menyumbang kepada pembangunan kraf pembuatan sangkar burung tempatan.
Pada masa lampau, banyak rumah teh akan menggantung sangkar burung di luar kedai mereka dan pemilik burung akan membawa burung mereka ke rumah teh untuk berinteraksi dengan peminat burung lain. Pembuatan sangkar burung bukan sekadar sejenis kraf tetapi juga simbol budaya identiti unik Hong Kong. Ia melambangkan hubungan bandar dengan budaya tradisional Cina serta kepentingan alam semula jadi dan keharmonian dalam kehidupan rakyat.
“Semasa saya di sekolah, saya sentiasa mempunyai bakat semula jadi dalam kraf tangan dan sangkar burung adalah salah satu kraf yang paling artistik,” ujar Chan. Pada tahun 1950an, membuat sangkar burung adalah kemahiran khusus. Ramai orang memilih untuk mempelajari perniagaan lain seperti dandanan rambut dan pertukangan kayu.





Walaupun usianya masih muda pada masa itu, Chan tertarik dengan sangkar burung indah yang tergantung tinggi di atas, dan dia tahu dia telah menemui kerjayanya.
“Saya sedar secara tiba-tiba: bagaimana jika pakar membuat sangkar burung bersara satu hari nanti? Siapa yang akan meneruskan kraf ini? Dengan itu, saya bertekad memutuskan untuk belajar membuat sangkar burung,” beritahunya kepada Xinhua.
Menjelang 1960an dan 70an, Hong Kong mempunyai ramai pembuat sangkar burung yang mahir, dan Chan belum lagi dikenali ramai. Dia mencuba nasib dalam industri lain untuk memenuhi keperluannya, tetapi dia sentiasa mendapati dirinya tertarik semula kepada kraf membuat sangkar burung.
“Membuat sangkar burung masih menjadi kegemaran saya. Tidak kira apa kerja lain yang saya lakukan, saya tidak boleh melepaskannya,” katanya.
Membuat sangkar burung merupakan gabungan buluh dan kerja kayu mahir, hanya memerlukan buluh, pisau, cat dan ‘sepasang tangan.’ Pembuat sangkar burung mesti mempunyai kemahiran dan pengetahuan untuk mencipta dunia baharu untuk burung.
Untuk membuat sangkar burung yang ringkas, sekurang-kurangnya 48 jalur buluh diperlukan, setiap satunya diukir dengan teliti untuk memastikan ia simetri dan sekata.
Buluh itu kemudiannya dipanaskan dengan lampu minyak tanah untuk menghasilkan kelengkungan yang sesuai untuk sangkar, sebelum diselitkan melalui lubang kecil di bahagian bawah sangkar.
Tukang mahir mengukir corak pada bahagian bawah dan kaki sangkar untuk menghasilkan kesan visual yang menakjubkan. Membuat sebuah sangkar burung mengambil masa dari beberapa bulan hingga beberapa tahun.
Chan pernah menghabiskan hampir dua tahun membuat sangkar burung untuk burung peliharaan kesayangannya. Sangkar itu direka dengan lapisan tambahan untuk menyediakan lebih banyak ruang untuk burungnya melompat dan bermain.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, populariti pemeliharaan burung dan pembuatan sangkar burung telah merosot mendadak, membawa kepada pengurangan beransur-ansur dalam kraf membuat sangkar burung. Bagaimanapun, ‘Pak Choi’ terus menjalankan perniagaannya setiap hari, membaiki sangkar burung untuk pelanggan setia dan rakan lama. Dia percaya bahawa membaiki sangkar burung sama penting dengan membuatnya.
Semasa proses pembaikan, dia mengkaji ketukangan pembuat asal dan meniru teknik mereka. Beliau percaya membaiki sangkar burung adalah peluang untuk belajar daripada tukang lain dan mengekalkan keindahan reka bentuk asal.
Kraf pembuatan sangkar burung di Hong Kong telah diiktiraf sebagai kraf tangan tradisional dan disenaraikan dalam warisan budaya tidak ketara pada tahun 2014. Walaupun popularitinya menurun, ketukangan yang halus dan cantik terus menarik minat golongan muda untuk mempelajarinya.
Chan telah mengambil lapan perantis daripada pelbagai profesion, termasuk reka bentuk, kewangan dan tarian. Mereka datang ke kedainya dengan kerap untuk mempelajari teknik membuat sangkar burung dan dia menggalakkan mereka untuk memerhatikan proses itu terlebih dahulu untuk memastikan mereka mempunyai kesabaran dan ketabahan yang diperlukan untuk kraf itu.
Bagi perantis, membuat sangkar burung bukan sahaja mengenai mengatasi masalah teknikal tetapi juga pengalaman yang bermanfaat untuk mencipta sesuatu dari awal.
Pereka Kwok Dylan, salah seorang perantis Chan, malah telah menerbitkan sebuah buku mengenai budaya pemeliharaan burung dan pembuatan sangkar burung Hong Kong, dengan harapan dapat menghidupkan semula minat terhadap kraf tradisional ini.
Meskipun berdepan cabaran, Chan tetap optimis tentang masa depan pembuatan sangkar burung. Dia percaya dengan generasi terdahulu mewariskan ilmu dan generasi seterusnya bersedia menceburi kraf tersebut, tradisi membuat sangkar burung dapat dikekalkan dan diteruskan. – ANN/China Daily









