Wednesday, April 16, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Pak Lah’ meninggal dunia

    KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Perdana Menteri kelima Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7:10 malam ini.

    Perkara itu disahkan menantunya, Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Instagram hari ini.

    “Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

    Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah figura penting yang banyak menyumbang ke arah pembangunan modal insan di negara ini, sehingga dinobat sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.

    Allahyarham, 85, yang mesra dipanggil ‘Pak Lah’ merupakan pelopor kepada satu konsep gagasan pemikiran yang menekankan aspek modal insan sebagai landasan kecemerlangan generasi masa hadapan.

    Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) malam kelmarin. – Bernama

    Bekas Perdana Menteri itu yang membawa imej pemimpin Islam sederhana itu, amat menekankan bahawasanya setiap insan perlu dilengkapi nilai-nilai positif seperti berilmu, mempunyai nilai murni, moral dan disiplin, bagi melengkapi proses pembangunan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

    Sepanjang enam tahun mengemudi kerajaan bermula 31 Oktober 2003, Abdullah antara lain menggariskan lima teras di bawah pentadbirannya iaitu Misi Nasional, Pelan Integriti Nasional, Pembangunan Koridor Ekonomi, Pembangunan Modal Insan serta konsep Islam Hadhari.

    Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang.

    Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai guru, meneruskan pengajian di Universiti Malaya dari tahun 1962 hingga 1964 dalam bidang Pengajian Islam.

    Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Endon Mahmood pada 1965 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Tan Sri Kamaluddin dan Nori. Bagaimanapun setelah beberapa tahun bertarung dengan kanser payu dara, Endon meninggal dunia pada 20 Oktober 2005 dan Abdullah kemudiannya berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 2007.

    Antara jawatan penting Abdullah dalam Kabinet adalah sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada 1980, Menteri Pelajaran (1984), Menteri Pertahanan (1986-1987), Menteri Luar Negeri (1991-1999) selain menggalas jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada tahun 1999.

    Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009 dan dikurniakan darjah tertinggi negara iaitu Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun pada tahun sama. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda