Tuesday, February 11, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pak Romli Mahmud, Awang Batil terakhir?

    PERLIS – Tokoh-tokoh memperkembangkan sastera rakyat di Malaysia dikenali sebagai penglipurlara, bercerita dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang kisahnya bersambung-sambung dan memakan masa sehingga beberapa malam pada suatu masa dahulu.

    Antara tokoh-tokoh itu ialah Awang Batil yang terkenal dari utara Malaysia, Perlis dan salah seorang yang terakhir ialah Romli Mahamud. Dikenali dalam kalangan ramai sebagai Pok Romli Mahamud, tradisi penglipurlara mungkin akan lenyap bersamanya kecuali beliau dapat mencari seorang pelajar yang berminat menyambung tradisi itu.

    Lelaki warga emas berusia 68 tahun ini, lemah lembut pertuturannya, bagaimanapun terpaksa menelan hakikat tersebut.

    Sukar cari pengganti

    Berbicara dalam dialek Melayu utara melalui Zoom semasa ditemu bual The Straits Times dari rumahnya di Kampung Pokok Sena, Chuping, Perlis, beliau merungut: “Saya pernah ada seorang pelajar sebelum ini, tetapi tiada yang benar-benar menyerap semua pengetahuan.

    “Walaupun mereka belajar, mereka hanya mengambil sedikit sahaja, tidak cukup untuk lulus dalam pembelajaran mereka. Malangnya, ini bermakna saya tidak mempunyai seseorang yang boleh meneruskan tradisi ini.”

    Pok Romli Mahamud bersama salah satu topeng topeng yang membawa watak ‘Wak Nujum’ ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pokok Sena, Chuping, Perlis. – Bernama
    Legenda Awang Batil, Pok Romli Mahamud semasa mengadakan persembahan di Pesta Raya di Esplanade – Theatres on the Bay di Singapura baru-baru ini. – ANN/The Straits Times
    Pok Romli mengadakan persembahan dengan memakai topeng.

    Romli membawa tradisi ini ke Singapura sebagai sebahagian daripada Pesta Raya, festival seni Melayu yang dianjurkan oleh Esplanade beberapa bulan lalu.

    Persembahannya dianjurkan oleh Pusaka, sebuah organisasi kebudayaan Malaysia yang ditubuhkan untuk mengarkibkan bentuk seni tradisional Malaysia.

    Pengarah kreatifnya, Pauline Fan, 45, membantu menterjemah semasa temu bual tersebut.

    Bapa Romli, Mahmud Awang Wahid, adalah seorang penglipurlara yang terkenal dari kampung halaman mereka.

    Gaya penceritaan Awang Batil secara tradisinya menggunakan peralatan seperti topeng, serunai (alat muzik tiup) dan batil (periuk perkusi gangsa). Penglipurlara ini menceritakan himpunan cerita dalam dialek Melayu utara sambil memainkan alat muzik yang mengawal tempo persembahan.

    Menurut Ramli, “Mewarisi tradisi daripada bapa saya adalah sesuatu yang semula jadi.

    Beliau merupakan seorang Awang Batil yang terkenal dan saya sering menemaninya semasa persembahannya.

    “Bagi saya, tidak ada masalah untuk menyerap gaya persembahan bapa saya. Apabila saya mula mengembangkan gaya saya sendiri, saya membawa masuk beberapa elemen baharu juga.”

    Didorong oleh bapanya untuk berinovasi, Romli memperkenalkan biola dan rebana dalam persembahannya.

    Awang Batil hafal koleksi ceritera

    Beliau mempunyai 11 cerita – sebahagian diwarisi daripada bapanya, sebahagian lagi dipelajari daripada seorang penglipurlara warga emas di Perlis dan yang lainnya disesuaikan oleh beliau sendiri.

    Cabaran bagi kebanyakan bekas pelajarnya, termasuk anak-anaknya sendiri, adalah kesabaran dan ketekunan yang diperlukan untuk menyempurnakan penceritaan dengan tempo yang seimbang sambil memainkan alat muzik dan menjalin hubungan dengan penonton.

    Romli berkata: “Kadang-kadang, mereka yang kurang terlatih boleh lupa untuk bermain sambil bercakap atau sebaliknya. Itulah salah satu sebabnya mengapa saya sukar untuk mencari seorang murid – ia merupakan salah satu bentuk seni yang paling sukar untuk dipelajari.”

    Walaupun beliau terbuka kepada cerita-cerita yang diceritakan dalam Bahasa Malaysia dan bukan dalam dialek utara yang tradisional, tiada seorang pun daripada pelajar-pelajarnya yang telah menyelesaikan latihan mereka.

    Romli percaya bahawa orang muda kurang berminat untuk mempelajari sesuatu yang begitu rumit dan memakan masa.

    “Saya sangat terbuka untuk menerima pelajar, tetapi tidak ada jaminan bahawa mereka dapat mempelajari keseluruhan tradisi ini dan menjadi seorang Awang Batil. Ia memerlukan tanggungjawab, usaha, masa, dan komitmen yang tinggi untuk meneruskan tradisi ini,” ujarnya. – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda