BEVERLY HILLS, AMERIKA SYARIKAT, 19 MEI – Rob Greenfield dengan bangga menunjukkan fesyen baju sampahnya kepada orang ramai, ia adalah sebahagian daripada rancangannya untuk menunjukkan berapa banyak sampah yang kita kumpulkan setiap bulan.
Aktivis alam sekitar itu merayau-rayau di jalanan di Los Angeles dan bandar-bandar sekeliling sambil memakai baju yang direka khas mampu mengangkat semua sampah yang dihasilkannya sepanjang beberapa minggu.
“Bagi kebanyakan kita, sampah adalah sesuatu yang tidak perlu diambil berat,” katanya kepada AFP.
“Kita tidak pernah memikirkan apa yang terjadi kepada sampah yang kita buang. Saya ingin mewujudkan pemandangan yang boleh membantu orang ramai untuk melihat jumlah sampah yang mampu dihasilkan.”
Dengan hanya tinggal beberapa hari sebelum cabarannya berakhir, Greenfield telah ‘memakai’ kira-kira 28 kilogram sampah yang dihasilkan daripada minuman, snek dan makanan yang dimakannya.
Kesemuanya dipadatkan dalam baju plastik lutsinar yang dipakainya, dengan kocek direka khas di bahagian lengan, kaki dan belakang. Bahagian kakinya sudah dipenuhi dengan tin minuman dan ia membataskan pergerakannya, sekali gus memberikan penampilan keseluruhan yang kelihatan seperti robot diperbuat daripada sampah. – AFP
