Tuesday, February 11, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakai pelbagai peranti untuk pantau keselamatan atlet

    HONG KONG, 10 FEB – Pada suatu pagi Ahad, Maraton Hong Kong 2025 dimulakan dengan meriah hebat. Antara pelari dalam acara itu, kira-kira 200 daripada mereka dari Hong Kong Baptist University (HKBU) yang menyertai mempunyai satu misi tersembunyi.

    Pelari-pelari berkenaan bukan sahaja mempamerkan kemahiran mereka di trek tetapi juga mengambil bahagian dalam ujian pengoptimuman untuk projek penyelidikan sains sukan.

    Pelari-pelari HKBU berkenaan perlu membuat persiapan tambahan dengan memakai tiga peranti – satu alat diikat pada tali kasut untuk mengukur panjang langkah, satu alat diikat pada dada untuk mengukur denyutan jantung dan satu alat berbentuk kapsul yang telah ditelan 12 jam lebih awal mengukur suhu teras badan. Ditambah lagi dengan memakai jam tangan pintar untuk merakam lokasi, pecutan larian dan menghantar data.

    Pada 2023, pasukan penyelidik daripada HKBU telah  melancarkan projek ‘metrik data manusia dalam masa nyata untuk meningkatkan prestasi dan keselamatan atlet’ yang mana ia menggunakan teknologi terkemuka dunia untuk memantau penunjuk fisiologi atlet dalam masa nyata dan membantu memastikan kesihatan dan keselamatan mereka semasa pertandingan.

    Melalui pemakaian peranti-peranti berkenaan, pelbagai data daripada pelari boleh dikesan dan diukur. Data kemudiannya dihantar melalui jam tangan pintar ke sebuah sistem lain untuk dianalisis oleh penyelidik.

    “Visi kami adalah untuk memastikan keselamatan atlet dan membantu mereka meningkatkan keupayaan dan prestasi mereka,” kata Patrick WC Lau, pengerusi jabatan Jabatan Sukan, Pendidikan Jasmani & Kesihatan HKBU dan juga salah seorang pelari dalam Maraton Hong Kong tahun ini.

    Atas & Bawah: Semasa acara maraton baru-baru ini. – Xinhua

    Maraton ialah sukan berintensiti tinggi yang menjadi semakin popular di Hong Kong. Terdapat kes pelari rebah atau mati selepas perlumbaan dalam maraton Hong Kong. Oleh itu, ketika kegilaan maraton terus meningkat, kebimbangan mengenai keselamatan pelari turut diberi perhatian.

    Pasukan HKBU membangunkan sistem yang beroperasi sama dengan sistem lampu isyarat. Sekiranya semua penunjuk fisiologi seseorang atlet selamat, sistem menyalakan ‘lampu hijau’ supaya mereka boleh meningkatkan keamatan dan kelajuan.  Sementara ‘lampu kuning’ bermakna mereka telah mencapai had dan perlu berhati-hati. ‘Lampu merah’ bermakna mereka perlu berhenti serta-merta.

    Sistem demikian telah pun dipakai dalam Piala Triatlon Dunia 2024 Hong Kong dan Sukan Paralimpik Paris 2024.

    Pada Mac 2024, Piala Triatlon Dunia 2024 Hong Kong telah diadakan di Central Harbourfront. Menurut Balai Cerap Hong Kong, suhu tertinggi yang dicatatkan pada hari itu ialah 31.5 darjah Celsius, menjadikannya hari Mac paling panas di Hong Kong sejak 40 tahun lalu.

    Maraton menjadi semakin popular, keselataman peserta harus diberi lebih perhatian. – Xinhua

    Pasukan HKBU menubuhkan satu pejabat yang dilengkapi dengan banyak instrumen dan komputer canggih berhampiran dengan kawasan pertandingan untuk memantau keadaan fizikal kira-kira 70 peserta.

    Carl James, penolong profesor penyelidik Jabatan Sukan, Pendidikan Jasmani & Kesihatan HKBU, dan rakan-rakannya tertumpu pada skrin.

    “Bulatan hijau mewakili lokasi atlet, manakala di sebelah kanan, awda boleh melihat kadar denyutan jantung atlet, rentak dan suhu badan, ” kata James sambil menunjuk ke skrin, sambil menyatakan bahawa pasukan penyelidik menggunakan teknologi penderia boleh pakai atau wearable sensor untuk memantau keadaan fizikal dan lokasi peserta dalam masa nyata.

    Semasa perlumbaan itu, dua atlet didapati mempunyai suhu badan setinggi 41 darjah Celsius dan mencetuskan amaran ‘lampu merah’. Dengan sistem pengesanan masa nyata sedemikian, kakitangan boleh segera sampai ke lokasi atlet untuk memberikan bantuan yang sewajarnya dan memastikan keselamatan mereka.

    Selalunya untuk acara sukan yang diadakan di luar (outdoor), setiap pertandingan adalah ujian yang berat terhadap kecergasan dan ketahanan fizikal bagi atlet. Semasa Sukan Olimpik Paris tahun lepas, pasukan HKBU menyediakan peranti stesen meteorologi di pelbagai tempat pertandingan untuk memantau suhu masa nyata dan risiko berkaitan dengan tepat di padang.

    Lau berkata, langkah seterusnya adalah menghantar data ke jam tangan pintar atlet dalam masa nyata pula, supaya atlet dapat mengetahui keadaan fizikal mereka lebih awal dan menyesuaikan kelajuan mereka. Dan Itulah yang sedang diujia pasukannya dalam acar Marathon Hong Kong kali ini.

    Langkah seterusnya untuk menghantar data ke jam tangan pintar atlet. – Gambar Pexels

    Selain kegunaan tadi, data-data yang telah dikumpul juga boleh menjadi rujukan untuk penyelidik dan jurulatih untuk mereka bentuk latihan yang disesuaikan untuk atlet, membantu mereka memahami masa untuk melaraskan kelajuan dan intensiti supaya boleh mengelakkan kecederaan dan juga meningkatkan prestasi.

    Pasukan HKBU menjangka dapat menyelesaikan pengoptimuman dalam tempoh lebih setahun dan menerapkannya dengan lebih meluas dalam bidang yang berbeza.

    “Kami akan menggunakan kajian begini untuk lebih banyak jenis sukan lain, serta untuk jenis pekerjaan dalam industri lain – seperti pembersih taman desa dan pekerja binaan, dengan harapan dapat membawa lebih banyak impak positif kepada masyarakat,” kata Lau. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda