Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakar ASEAN bincang agenda keselamatan tenaga

    PHNOM PENH, 23 SEPT – Pakar tenaga serantau yang menghadiri Forum Tenaga Asia Timur ketujuh menegaskan komitmen ASEAN untuk menangani cabaran tenaga global dengan penyelesaian yang mampan dan kolaboratif.

    Para pakar sedang merangka strategi untuk menangani permintaan tenaga yang semakin meningkat yang mungkin melebihi tahap pengeluaran, sementara negara-negara Asia Tenggara memberi tumpuan kepada memodenkan ekonomi mereka dan urbanisasi pesat yang melanda seluruh rantau ini.

    Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) bekerjasama dengan Laos yang merupakan Pengerusi ASEAN semasa telah menganjurkan forum tenaga itu hari ini di Vientiane, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh badan pemikir yang berpusat di Jakarta itu.

    Menteri Tenaga dan Perlombongan Laos membuka forum dengan mesej jelas bahawa kolaborasi adalah kunci untuk memperkukuh keselamatan tenaga negara itu.

    “Dalam menghadapi cabaran global untuk menangani perubahan iklim sambil mengekalkan pertumbuhan ekonomi, kolaborasi di semua peringkat adalah penting bagi Laos dan ASEAN untuk mencapai keselamatan tenaga dan masa depan tenaga yang lebih mampan,” kata Phoxay Sayasone.

    Forum tahun ini yang bertemakan Haluan Dasar Tenaga untuk Pembangunan Terangkum dan Mampan untuk ASEAN, memberi tumpuan kepada dasar keselamatan tenaga yang menyokong pembangunan mampan.

    Presiden ERIA Tetsuya Watanabe berkata forum ini adalah platform penting bagi pakar serantau untuk berkongsi penyelesaian terhadap cabaran tenaga global.

    “Forum ini adalah peluang bagi Laos dan negara-negara ASEAN untuk bekerjasama dan membangunkan dasar yang mempromosikan keselamatan dan kelestarian tenaga di rantau ini,” katanya.

    Forum ini membincangkan beberapa isu utama, seperti keselamatan bekalan tenaga, akses kepada tenaga dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui. Perbincangan terutamanya memberi tumpuan kepada bagaimana negara-negara ASEAN dapat meningkatkan daya tahan tenaga dengan mempelbagaikan sumber tenaga dan memperkukuh infrastruktur sedia ada, yang penting untuk mencapai keselamatan tenaga, kata kenyataan itu. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda