WASHINGTON, 20 MEI – Pakar bedah di sebuah hospital di Los Angeles, California berjaya melakukan pemindahan pundi kencing manusia pertama di dunia, kata pegawai hospital.
Pembedahan, yang dilakukan pada 4 Mei di Pusat Perubatan UCLA Ronald Reagan, merupakan kemajuan penting untuk pesakit lain yang mengalami gangguan serius pada pundi kencing. Penerima prosedur inovatif itu ialah Oscar Larrainzar, 41, bapa kepada empat anak yang sebahagian besar pundi kencingnya dibuang akibat kanser beberapa tahun lalu, kata Universiti California, Los Angeles dalam satu kenyataan Ahad lalu.
Kedua-dua buah pinggang Larrainzar kemudiannya dibuang kerana kanser dan penyakit buah pinggang tahap akhir serta menjalani dialisis selama tujuh tahun.
Dia menerima kedua-dua organ, pundi kencing dan buah pinggang daripada penderma organ dan telah berjaya dipindahkan dalam pembedahan selama lapan jam.
“Pakar bedah mula-mula memindahkan buah pinggang, diikuti dengan pundi kencing, mereka kemudian menyambungkan buah pinggang ke pundi kencing baharu menggunakan teknik yang dipelopori mereka,” menurut kenyataan UCLA.
Salah seorang pakar bedah yang terlibat dalam pemindahan bersejarah itu, Dr Nima Nassiri berkata prosedur itu menunjukkan hasil positif serta-merta.
“Buah pinggang dengan segera mengeluarkan sejumlah besar air kencing dan fungsi buah pinggang pesakit terus meningkat,” kata Nassiri.
“Tidak ada keperluan untuk sebarang dialisis selepas pembedahan dan air kencing mengalir dengan baik ke dalam pundi kencing yang baharu.”
Nassiri dan rakan pakar bedah, Inderbir Gill, berkata pemindahan pundi kencing penuh tidak dilakukan sebelum ini kerana struktur vaskular kompleks pelvis, menjadikannya prosedur teknikal yang sukar. – AFP
