Seorang pakar bedah plastik mendedahkan antara wajah artis K-pop yang sering diidamkan pelanggan mereka adalah penyanyi Jin BTS dan pelakon Cha Eun Woo.
Allkpop melaporkan dalam satu temu bual bersama pakar bedah plastik iaitu Dr Choi Hyung menerusi majalah K-Health memberitahu ramai pelanggan membawa gambar kedua-dua artis berkenaan menyatakan hasrat mahu mendapatkan ciri-ciri wajah diidamkan itu.
Menurut Dr Choi, permintaan untuk melakukan filler di bawah mata semakin meningkat bukan hanya dalam kalangan pelanggan wanita tetapi juga lelaki.
Jelas pakar bedah plastik itu lagi, dia sering berjumpa dengan pelanggan yang berhasrat untuk melakukan prosedur bagi mendapatkan wajah seperti Jin dan Eun Woo.
“Minat terhadap filler bawah mata semakin meningkat bukan hanya wanita, tetapi permintaan daripada lelaki juga turut diterima.
“Di hospital saya, ramai lelaki yang datang untuk bertanyakan tentang prosedur pembedahan plastik dengan membawa gambar artis terkenal seperti Jin dan Eun Woo,” katanya.
Kedua-dua artis Korea ini telah mendapat pengiktirafan yang ketara terhadap ketampanan yang dimiliki mereka.
Ramai peminat menganggap Jin dan Eun Woo sebagai lambang standard kecantikan lelaki di Korea Selatan.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju dengan kenyataan dibuat oleh doktor pakar bedah plastik itu dan menyifatkan kecantikan yang dimiliki Jin adalah sempurna. – Agensi


