WASHINGTON, 13 MEI – Pakar virus terkemuka Amerika Syarikat (AS) memberi amaran terhadap kemungkinan peningkatan kematian, susulan penarikan semula perintah berkurung terlalu awal.
Kajian dilakukan pakar wabak, Anthony Fauci mendapati, penarikan semula perintah berkurung walaupun secara berhati-hati boleh mencetuskan kemunculan gelombang kedua.
Dalam testimoni kepada penggubal undang-undang, Fauci mengakui jumlah sebenar kematian akibat COVID-19 di AS berkemungkinan lebih tinggi berbanding perangkaan rasmi sebanyak 80,000. Meskipun Presiden, Donald Trump mahu menggerakkan semula ekonomi, Fauci memberi amaran bahawa musibah lebih buruk bakal terjadi, jika semua negeri dan bandar raya tidak menghiraukan langkah keselamatan apabila melonggarkan perintah berkurung.
Ia adalah susulan daripada amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) bahawa gelombang kedua COVID-19 boleh tercetus jika jangkitan baharu gagal dikawal. Ia berlaku ketika Rusia mula melonggarkan peraturan perintah berkurung, walaupun kadar jangkitan negara itu melebihi 232,000, sekali gus mencatat rekod sebagai negara kedua tertinggi di dunia selepas AS.
Negara terbabit merekodkan penanda aras baharu kelmarin selepas seminggu mencatatkan jumlah jangkitan harian melebihi 10,000, termasuk jurucakap Presiden Vladimir Putin yang disahkan positif COVID-19 baru-baru ini. – AFP