Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakar beri amaran peningkatan gelombang haba, risiko kebakaran hutan di Sepanyol

    BARCELONA, 11 JULAI – Orang ramai di Sepanyol mesti mengukuhkan kesedaran mereka mengenai risiko berkaitan iklim berikutan kejadian yang semakin kerap dan ekstrem seperti gelombang haba melampau dan kebakaran hutan besar akibat peningkatan suhu, menurut amaran seorang pakar iklim, lapor Xinhua.

    Javier Martin-Vide, profesor geografi fizikal di Universiti Barcelona dalam temu bual dengan Xinhua kelmarin berkata rakyat Sepanyol perlu bersedia menghadapi keadaan iklim yang semakin buruk.

    Pada penghujung Jun dan awal Julai, suhu meningkat sehingga 42 darjah Celsius di kebanyakan bahagian di negara itu.

    Minggu ini, Agensi Meteorologi Negara Sepanyol (AEMET) memberi amaran mengenai ribut kuat dan banjir di beberapa kawasan.

    Profesor itu berkata suhu tinggi juga meningkatkan risiko kebakaran hutan. Lebih 3,300 hektar terbakar minggu ini di wilayah timur laut Catalonia, hanya beberapa hari selepas 6,000 hektar kebanyakannya kawasan ladang turut terbakar di kawasan sama.

    “Keadaan cuaca panas melampau ini biasanya sangat sesuai untuk kebakaran hutan besar,” kata Martin-Vide. “Kemungkinan sepanjang musim panas ini kita akan sekali lagi melihat imej kebakaran yang menjejaskan hutan dan tanaman kita.”

    Beliau memberi amaran bahawa suhu tinggi diikuti cuaca ekstrem dijangka berterusan sepanjang musim panas, dengan bukti menunjukkan trend itu akan menjadi semakin kerap setiap tahun. – Bernama

    Gambar menunjukkan asap tebal berkepul-kepul naik akibat kebakaran hutan berhampiran Pauls, bersebelahan Tarragona, di wilayah Catalonia Sepanyol pada 8 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda