LONDON, 23 MEI – Seorang penasihat terkemuka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan wabak penyakit cacar monyet di negara maju sebagai ‘peristiwa rambang’ yang mungkin boleh dijelaskan oleh tingkah laku seksual pada dua acara besar-besaran di Eropah.
Dalam temu bual dengan The Associated Press, Dr David Heymann, yang sebelum ini mengetuai jabatan kecemasan WHO, berkata teori utama untuk menjelaskan penularan penyakit ini adalah jangkitan seks di kalangan lelaki homoseksual di dua pesta yang diadakan di Sepanyol dan Belgium. Cacar monyet sebelum ini tidak mencetuskan wabak berleluasa di luar negara Afrika, di mana ia adalah endemik dalam haiwan.
”Kami tahu cacar monyet boleh merebak apabila terdapatnya kontak rapat dengan seseorang yang dijangkiti, dan nampaknya kontak seksual kini telah meningkat penularan tersebut,” kata Heymann.
Ia menandakan penyimpangan ketara daripada pola penularan penyakit di tengah dan barat Afrika, di mana orang dijangkiti oleh haiwan seperti tikus liar dan primat dan wabak belum menular di luar sempadan negara. – AP