Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakar ‘detoks’ anak sebar maklumat palsu

    WASHINGTON – Sekumpulan ibu dari Amerika dalam TikTok yang mendakwa sebagai pakar ‘detoks’ mempromosikan rawatan bagi gangguan tingkah laku kanak-kanak dengan maklumat palsu mereka yang sebenarnya adalah kempen pemasaran bertujuan bagi menjana wang semata.

    Ibu pempengaruh yang ramai pengikut dalam platform tersebut, sering kali menggunakan pengalaman peribadi untuk mempromosikan produk detoks seperti penyembur atau rawatan mandian. Tanpa bukti saintifik, mereka mendakwa bahawa produk tersebut dapat membantu menghilangkan toksin seperti logam berat dan parasit daripada tubuh kanak-kanak.

    Video-video yang dihasilkan oleh mereka itu sering kali mendapat jutaan tontonan di platform-platform termasuk TikTok, yang menunjukkan bagaimana pempengaruh nutrisi yang tidak berkelayakan dengan liciknya mengelak daripada peraturan pemantauan kandungan untuk menyebarkan maklumat kesihatan yang berpotensi merbahaya dan sukar dipantau oleh pakar-pakar.

    Pempengaruh-pempengaruh itu mendakwa bahawa mereka mempunyai penyelesaian kepada masalah seperti perubahan emosi, cerewet memilih makanan dan masalah autisme. Mereka juga dituduh memanfaatkan ibu bapa yang dalam keadaan terdesak dan mendapatkan keuntungan kewangan melalui skim pemasaran berbilang peringkat (MLM) yang dianggap sebagai pemangsa.

    MLM DILARANG DI TIKTOK

    Danica Walker, yang menganggap dirinya sebagai ‘pakar detoksifikasi’, menunjukkan semburan dalam satu video dan mendakwa bahawa ia membantu menyembuhkan masalah ‘perubahan emosi’ anaknya dalam beberapa minggu.

    Ibu pempengaruh sering menggunakan testimoni peribadi untuk menyokong semburan detoks atau rawatan mandian dapat mengeluarkan toksin dari badan kanak-kanak. – AFP
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Video-video serupa yang mengiklankan produk atau perkhidmatan, termasuk video tersebut, tidak diberi tanda atau label sebagai iklan oleh pemilik akaun.

    Tetapi laman web yang dikaitkan dalam bio TikToknya, mengarahkan pengguna ke syarikat yang mempunyai ciri-ciri MLM, satu bentuk jualan langsung menggunakan kontraktor bebas. Syarikat itu menjual produk detoksifikasi, termasuk semburan yang dipaparkan dalam video Walker dan mereka merekrut wakil jualan baru melalui ‘program rakan kongsi’.

    Syarikat itu merekrut wakil penjualan baharu melalui ‘program rakan kongsi’ atau ‘program rakan kongsi’.

    Walker mahupun syarikat MLM tidak menjawab permintaan AFP untuk mendapatkan komen. Antara komen di bawah videonya seperti ‘Adakah awda dibayar untuk ini?’ dan ‘Ia tidak berkesan bagi saya dan sangat mahal’ tidak mendapat respons awam daripada Walker.

    RAWATAN PALSU

    AFP telah menyiasat beberapa akaun TikTok milik sekumpulan ibu pempengaruh yang kelihatan sangat aktif dalam mempromosikan produk detoks yang tidak mempunyai bukti saintifik yang kukuh untuk menyokong keberkesanan produk tersebut.

    Akaun tersebut melanggar garis panduan komuniti TikTok. Tanpa mengulas mengenai pengaruh detoks, jurucakap TikTok memberitahu AFP, ‘garis panduan komuniti kami menjelaskan bahawa kami tidak membenarkan MLM’.

    Dua akaun, termasuk Walker telah dinyahaktifkan serta-merta selepas AFP memberitahu kepada jurucakap platform itu.

    Beberapa pengaruh media sosial cuba mengelak daripada kemungkinan tindakan undang-undang dengan menggunakan penafian standard yang menyatakan bahawa penarafan mereka ‘bukan nasihat perubatan’.

    “Telah menjadi sebahagian daripada taktik jualan mereka, ‘saya memberi awda maklumat itu sebagai ibu kepada ibu, bukan sebagai doktor awda’ dan ia didakwa melindungi mereka secara undang-undang tetapi juga menghubungkan mereka dengan bakal pembeli,” kata penyelidik maklumat palsu TikTok, Abbie Richards, kepada AFP.

    Pengakuan yang dibuat oleh akaun-akaun itu mungkin sepenuhnya direka semata-mata untuk tujuan menjual barangan dan ia tidak diberi tanda sebagai iklan.

    “Orang-orang yang bekerja untuk MLM boleh memperoleh wang melalui komisen daripada jualan langsung produk atau dengan merekrut pengedar-pengedar baharu, menurut Lembaga Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat.

    “Maklumat palsu yang bersifat ‘pseudosains’ mempunyai impak besar dalam kehidupan nyata,” kata Jonathan Stea, ahli psikologi klinikal dan pembantu profesor tambahan di Universiti Calgary.

    “Detoks adalah satu penipuan,” kata Stea kepada AFP.

    “Tidak ada bukti saintifik yang meyakinkan untuk menyokong rawatan detoks untuk mengeluarkan ‘toksin’ dari badan. Mandian detoks ialah rawatan palsu untuk keadaan yang direka.”

    IBU SEBAGAI MANGSA SASARAN

    Ibu bapa yang mempunyai anak yang autistik khususnya telah meluahkan kemarahan terhadap individu yang mempengaruhi masyarakat dengan menyebarkan perkara yang tidak benar demi keuntungan peribadi, termasuklah mendakwa bahawa rawatan detoks dapat menyembuhkan gejala seperti kelewatan pertuturan dan membolehkan kanak-kanak yang tidak dapat bercakap untuk mula bernyanyi.

    “Banyak daripada awda (pempengaruh) menghubungi saya dan berkata: ‘Hai, sayang, saya tahu anak awda autism. Saya ada benda sesuatu untuk awda,” kata seorang ibu bernama Anna Maria dalam video TikTok.

    “Hentikan. Berhenti mengejar ibu-ibu dalam komuniti yang berkeperluan khas.”

    Tetapi seolah-olah mengesahkan bahawa pembohongan tersebar lebih cepat dalam talian daripada kebenaran, video sedemikian menarik penglibatan dan daya tarikan yang jauh lebih rendah daripada sokongan detoks yang licik dan sentimental.

    Platform TikTok penuh dengan pempengaruh yang tidak mempunyai kelayakan dalam bidang perubatan, tetapi masih menyebarkan maklumat palsu. Ia merangkumi berbagai-bagai perkara, termasuk mengenai vaksinasi, pembedahan dan mitos kesihatan yang tidak disahkan secara saintifik, yang boleh mempengaruhi keputusan perubatan dengan serius.

    Tahun lalu, Media Matters yang berfungsi sebagai badan pengawas telah mendedahkan satu lagi skema MLM ‘pemangsa’ di TikTok yang secara rahsia menjual produk penurunan berat badan yang tidak diluluskan oleh pengawal kesihatan Amerika Syarikat.

    TikTok gagal untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap skim MLM yang beroperasi dalam skala besar dan itu menimbulkan kebimbangan tentang keupayaan TikTok untuk menjalankan pemantauan yang efektif terhadap skim eksploitasi ini,” tulis Media Matters dalam laporannya.

    “Platform tersebut menerima banyak perhatian positif daripada media setelah mengumumkan larangan terhadap MLM pada Disember 2020, tetapi pelaksanaannya sebenarnya gagal.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda