Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakar Itali: Air mani boleh menjadi pembawa jangkitan cacar monyet

    ROM, 30 JUN – Para penyelidik di Itali yang terawal mengenal pasti kehadiran cacar monyet dalam air mani telah memperluaskan ujian mereka, mengatakan keputusan awal menunjukkan sperma boleh menjadi pembawa jangkitan.

    Pasukan di Hospital Spallanzani, Rom, yang pakar dalam penyakit berjangkit, mendedahkan satu kajian yang disiarkan pada 2 Jun bahawa virus DNA itu telah dikesan dalam air mani tiga daripada empat lelaki yang didiagnosis cacar monyet.

    Sejak itu, mereka mula mengembangkan kajian, menurut pengarah Francesco Vaia, yang berkata para penyelidik telah mengesan kehadiran cacar monyet dalam sperma 14 daripada 16 lelaki yang dikaji.

    “Penemuan ini memberitahu kami bahawa kehadiran virus dalam sperma bukan kejadian luar biasa atau rawak,” kata Vaia kepada AFP dalam satu temu bual.

    “Jangkitan itu boleh berpindah semasa hubungan kelamin secara kontak langsung dengan lesi kulit, namun kajian kami menunjukkan air mani juga boleh menjadi pembawa jangkitan,” tambahnya.

    Para penyelidik di Spallanzani mengenal pasti kes pertama cacar monyet Itali, dikesan daripada dua lelaki yang baru pulang dari Pulau Canary.

    Keputusan terkini dilaporkan oleh Vaia belum disiarkan atau tertakluk pada semakan saintifik.

    Sejak awal Mei, pertambahan kes cacar monyet telah dikesan di luar negara-negara Barat dan Tengah Afrika di mana penyakit itu sudah lama menjadi endemik. Kebanyakan kes-kes baharu dikesan di Barat Eropah.

    Lebih 3,400 kes disahkan dengan satu kematian telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari lebih 50 negara tahun ini.

    Kebanyakan kes setakat ini telah dipantau dalam lelaki yang melakukan hubungan intim dengan lelaki, lelaki muda, terutama di kawasan bandar, dalam ‘rangkaian seksual dan sosial berkluster’, menurut WHO. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda