TOKYO, 31 MAC – Pakar Jepun dan China mengadakan perbincangan mengenai air sisa terawat dari loji nuklear Fukushima yang terjejas, kata kementerian luar Jepun lewat kelmarin.
Ini merupakan perbincangan pertama yang diumumkan sejak Tokyo mula melepaskan air tersebut ke lautan tahun lalu.
Jepun dan China telah bertelagah mengenai pembuangan air sisa berkenaan, yang digunakan untuk menyejukkan reaktor selepas insiden 2011.
Jepun menegaskan air tersebut telah dirawat dengan selamat, tetapi China mengkritik pelepasan itu dan mengharamkan import makanan laut Jepun.
“Dialog antara pakar Jepun dan China mengenai pembuangan air terawat ke lautan (oleh loji Fukushima) telah diadakan di Dalian, China pada 30 Mac untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkara teknikal,” kata Kementerian Luar Tokyo dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu dibuat selepas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping pada November dan berkata perbincangan berasaskan sains akan berlangsung pada peringkat pakar. – AFP
