Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Persekutuan Judo Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNJF) menerima kunjungan Julien Brulard, pengasas di sebalik projek Judo Nomad hujung minggu lalu.
Pakar judo kelahiran Perancis itu memulakan misi bebas untuk mengunjungi dan berhubung dengan 197 negara yang bergabung di bawah Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF).
Julien, yang menawarkan bimbingan secara sukarela, membayangkan peta dunia yang mengenal pasti semua kelab supaya judoka di seluruh dunia boleh berhubung di samping mengadakan lawatan ke dojo di negara-negara yang dilawatinya.
Dia mempunyai 26 tahun pengalaman judo dan telah bekerja dengan 20 pasukan kebangsaan, daripada pelatih hingga atlet peringkat Olimpik.
Pelantikannya baru-baru ini adalah berkhidmat sebagai jurulatih untuk pasukan kebangsaan Vanuatu dalam Sukan Olimpik Paris tahun lepas.
Lelaki berusia 31 tahun itu juga telah mengajar jiu-jitsu Brazil (BJJ) dan nogi sejak beberapa tahun lalu.
Setakat ini, dia telah melawat 44 negara, dengan sebuah pulau kecil di Filipina sebagai destinasi seterusnya.
Persinggahan terbaharu membawa beliau ke Brunei Darussalam sebagai sebahagian daripada jadual perjalanan yang merangkumi ceramah motivasi, seminar kejurulatihan termasuk dua seminar terbuka.
Seminar terbuka yang diadakan secara berasingan tertumpu kepada teknik asas dan strategi pertandingan.
Mengenai sukan judo di Brunei, Julien berkata walaupun BDNJF masih pada peringkat awal, ia telah berkembang pesat.
Beliau berkata persahabatan dalam kalangan pemain memainkan peranan penting dalam membangunkan sukan itu, sambil menambah dia gembira melihat ahli judo saling menyokong antara satu sama lain.
Lawatan warga Perancis itu akan memberi manfaat dalam pertumbuhan dan pembangunan sukan di negara ini khususnya dalam meningkatkan kemahiran para pengamal.