Oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Hasil rekaan dan ciptaan pelindung muka kanak-kanak bagi membantu kanak-kanak yang dirawat di hospital ketika pandemik COVID-19 oleh seorang pakar oftalmologi pediatrik Negara Brunei Darussalam mendapat pengiktirafan apabila menerima anugerah Points of Light Komanwel dari kerajaan United Kingdom.
Pakar oftalmologi pediatrik, Dr Helena Hurairah menjadi kebanggaan negara apabila beliau mencipta pelindung muka berdaya tahan dan rekaannya dikongsi serta dihasilkan semula di beberapa buah negara di seluruh dunia bagi membantu petugas barisan hadapan memerangi koronavirus.
Dr Helena Hurairah dalam satu temu bual melahirkan penghargaan tak terhingga kepada kerajaan UK atas penghormatan yang diberikan dan berterima kasih atas penghargaan tersebut.
Menurutnya, apabila kes pertama COVID-19 dilaporkan di Brunei, keutamaan Kementerian Kesihatan adalah kesihatan dan keselamatan bagi semua orang.
“Saya tahu saya tidak bersendirian dalam mengongsi sentimen dilahirkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar bahawa setiap nyawa rakyat negara ini sangat bernilai dan saya mahu berterima kasih kepadanya atas kesungguhan, kepimpinannya yang jitu pada masa-masa kita diuji dengan pandemik ini.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-3-A_02062020.jpg)
“Selama tiga bulan kebelakangan ini, saya menukar scrub oftalmologi saya kepada peralatan perlindungan diri (PPE) dan berdiri teguh bersama rakan barisan hadapan. Kami menerima banyak sokongan dan kemurahan hati orang awam dan saya mahu mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan padu mereka.”
Beliau turut melahirkan rasa terharu dan penghargaan kepada masyarakat di negara ini yang sama-sama membantu menangani pandemik, memberi contoh kemurahan hati dan keikhlasan warga Jabatan Rekaan dan Teknologi, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), Brunei.
“Kami berkolaborasi menghasilkan pelindung muka berkesan dan boleh diguna semula. Rekaan ini dikongsi dan dihasilkan semula di beberapa negara untuk membantu petugas barisan hadapan memerangi virus ini. Saya berterima kasih kepada Claire dan Richard Gillam dan semua pelajar serta guru Jabatan Rekaan dan Teknologi JIS kerana menghasilkan versi pelindung muka mesra kanak-kanak yang banyak membantu memberi keselesaan kepada kanak-kanak yang perlu menjalani ujian COVID-19. Pelindung muka pediatrik juga disumbangkan kepada Pusat Wanita dan Kanak-kanak di Hospital RIPAS,” tambahnya.
Dr Helena Hurairah melahirkan kegembiraan menerima anugerah Komanwel itu dan optimistik, apabila pandemik reda, masyarakat ‘dengan normal baharu’ yang lebih penyayang akan wujud.
Menurutnya, pandemik ini menyerlahkan betapa masyarakat perlu bersatu padu dan beliau turut melahirkan penghargaan kepada usaha-usaha belia yang memberikan sumbangan kepada orang-orang yang memerlukan dalam masyarakat serta menyarankan orang ramai terus berwaspada dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.