TOKYO, 28 APRIL – Jepun harus menyekat Myanmar seperti yang telah dilakukan terhadap Rusia atas pencerobohannya di Ukraine, kata seorang pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu semalam, menyelar ‘kekejaman dan penindasan’ junta.
Thomas Andrews, Pelapor Khas PBB mengenai Hak Asasi Manusia di Myanmar, juga menggesa Jepun segera menamatkan program latihan untuk tentera Myanmar, memberi amaran ia mencemarkan imej tentera negara itu.
Myanmar telah dilanda krisis sejak tentera menggulingkan kerajaan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi pada Februari 2021, mencetuskan pertempuran di seluruh negara dan menjejaskan ekonomi.
Serangan udara ke atas sebuah kampung di kawasan bergolak bulan ini mengorbankan sekurang-kurangnya 170 orang, menurut media dan penduduk tempatan.
“Situasi hak asasi manusia di Myanmar adalah mengerikan dan semakin buruk,” kata Andrews kepada pemberita di Tokyo pada akhir lawatan untuk bertemu pegawai dan perniagaan Jepun.
“Saya menggesa Jepun supaya mempertimbangkan untuk menyertai semua negara G7 lain dalam mengenakan sekatan ekonomi yang disasarkan ke atas tentera Myanmar dan sumber pendapatan utamanya, sama seperti yang dilakukannya sebagai tindak balas terhadap krisis di Ukraine,” katanya.
Jepun menghentikan projek bantuan baharu selepas rampasan kuasa, walaupun program sedia ada tidak terjejas.
Kementerian Pertahanan berkata pada September ia tidak akan menerima rekrut baharu ke dalam program yang melatih anggota tentera Myanmar. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P11-2A-paper-web_29042023.jpg)