Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakar PBB seru tindakan selepas setahun konflik Israel-Hamas

    ATHENS, 8 OKT – Pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menyeru tindakan segera diambil untuk menamatkan kitaran keganasan dan mendesak akauntabiliti selepas setahun konflik Israel-Hamas, lapor agensi Anadolu.

    Pakar itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tahun lepas telah menyaksikan peningkatan krisis yang dahsyat dalam penderitaan manusia dengan kesan yang teruk terhadap rakyat Palestin, rakyat Israel dan seluruh rantau Timur Tengah.

    “Pelanggaran serius undang-undang antarabangsa seperti pembunuhan, menjadikan objek awam sasaran serangan, serangan tidak seimbang dan sembarangan, kebuluran, pemindahan secara paksa, pengusiran sewenang-wenang, keganasan seksual, penganiayaan serta penghinaan terhadap nyawa dan maruah, termasuk tidak menghormati mayat yang dilakukan oleh tentera Israel sejak bermulanya konflik di Gaza pada Oktober 2023 merupakan jenayah perang dan mungkin jenayah terhadap kemanusiaan,” kata pakar.

    Menarik perhatian kepada latar belakang sejarah dan politik pada 7 Oktober tahun lalu, pakar itu berkata dunia dikaburkan oleh naratif palsu dan diskriminasi bertahun-tahun, pengasingan kaum dan/atau apartheid yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, seperti yang diakui oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 19 Julai.

    Menurut mereka, konflik itu berisiko membawa kepada penghapusan rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki serta realiti tidak berkesudahan mengenai keadaan yang tidak terjamin dan penderitaan besar bagi rakyat Palestin dan Israel.

    Mereka juga menggesa masyarakat antarabangsa memastikan pemberhentian pemindahan senjata oleh negara dan syarikat kepada Israel untuk mengelakkan tanggungjawab dalam jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan secara bersubahat.

    Israel terus melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza bermula pada 7 Oktober tahun lepas, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa gencatan senjata segera. – Bernama

    Penduduk Palestin memeriksa khemah mereka yang musnah akibat pengeboman Israel bersebelahan dengan kemudahan UNRWA di barat bandar Rafah, Semenanjung Gaza pada 28 Mei lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda