Friday, October 25, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakar sains lautan siap siaga terhadap ancaman tsunami

    JAKARTA, 24 OKT – Pakar sains lautan hari ini berkata mereka telah bersedia berbanding sebelumnya terhadap ancaman tsunami berkat sistem amaran awal, walaupun mereka masih tidak dapat meramalkan bila ia datang melanda.

    Bagi memperingati ulang tahun ke-20 tsunami Asia Disember 2004 yang telah mengorbankan lebih 170,000 orang, pakar yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengulangi amaran tentang kesiapsiagaan tsunami.

    Kira-kira 20 tahun yang lalu saintis tidak mempunyai sistem amaran tsunami Lautan Hindi semasa bencana melanda, tetapi kini 1,400 stesen di seluruh dunia mengurangkan masa amaran kepada hanya beberapa minit selepas gelombang tsunami terbentuk.

    “Kami jauh lebih bersedia berbanding tahun 2004. Sistem amaran awal global mampu menyelamatkan nyawa,” kata Ketua Bahagian Kedayatahanan Tsunami di Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Bernardo Aliaga, kepada siaran media.

    Para pakar berharap agar rakyat di kawasan terdedah berwaspada terhadap bahaya yang boleh membawa maut dan tidak dapat diramal itu.

    “Kami menyasarkan menjelang 2030, 100 peratus daripada masyarakat berisiko agar bersedia dan berdaya tahan terhadap bencana tsunami,” kata Ketua Pusat Maklumat Tsunami Lautan Hindi, Ardito Kodijat. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda