Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakar: Tiub pitot mungkin punca pesawat terhempas

    MOSCOW, 14 Feb – Pakar Russia yang melakukan siasatan terhadap pesawat yang terhempas di luar Moscow hujung minggu lalu hingga mengorbankan 71 penumpang berkata nahas itu mungkin berpunca daripada ais pada alat ukur kelajuan yang membawa kepada maklumat yang salah mengenai kelajuan udara pesawat berkenaan.

    “Salah satu faktor kepada perkembangan situasi khusus dalam pesawat itu mungkin akibat data kelajuan penerbangan yang salah pada petunjuk juruterbang yang berkemungkinan disebabkan oleh tiub pitot berais ketika sistem pemanasan ditutup,” kata Jawatankuasa Penerbangan Antara Negeri (IAC), yang menyiasat insiden pesawat itu.

    Pesawat Antonov An-148 berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo, Moscow pada Ahad lalu dan terhempas di kawasan lapang kira-kira 70 kilometer dari tenggara Moscow tidak lama selepas itu.

    Semua 65 penumpang dan enam kru yang berada di dalam pesawat berkenaan terkorban.

    IAC berkata sudah menyiapkan analisis rakaman dalam pesawat berkenaan dan masih perlu menganalisis kotak hitam yang merakamkan perbualan dalam kokpit pesawat itu. Mereka juga akan melihat sama ada tiub pitot, peralatan penting yang mengukur kelajuan udara, boleh berfungsi dengan lancar.

    Para penyelamat Kementerian Kecemasan Rusia membawa mayat dari sebuah trak ke dalam helikopter di lokasi kemalangan pesawat di Daerah Ramensky, di pinggir Moscow pada 12 Februari 2018. Pakar Rusia berkata nahas itu mungkin berpunca daripada ais pada alat ukur kelajuan yang menyebabkan maklumat salah mengenai kelajuan udara pesawat berkenaan. – AFP

    Alat tiub pitot berais sebelum ini berkemungkinan sebagai punca di sebalik penerbangan Air France 447 yang merempuh Atlantik pada tahun 2009, membunuh 228 orang di atas kapal.

    Akhbar RBK semalam memetik sumber mengatakan bahawa kapten pesawat Rusia menolak prosedur mencairkan ais semasa pesawat berada di Lapangan Terbang Domodedovo. Akhbar Kommersant sebelum ini mengatakan bahawa prosedur itu adalah pilihan memandangkan suhu yang agak ringan pada masa itu.

    IAC berkata penerbangan itu mula mengalami masalah selama dua setengah minit selepas berlepas dengan ketinggian kira-kira 1300 meter, di mana penunjuk instrumen mula memperlihatkan kelajuan yang jauh berbeza.

    Menurut IAC, alat pandu-automatik pesawat itu dimatikan dan ia mula menurun dengan ketara sehingga impak ke tanah pada pukul 11:27 waktu tempatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda