ROM, 29 MEI – Pakar kesihatan berkata rantau Itali mungkin mengubah data jangkitan virus agar tidak diperintahkan untuk melaksanakan perintah berkurung sekali lagi, mencetuskan kemarahan hari ini ketika negara itu bersiap sedia untuk dibuka semula.
Lombardy, rantau yang paling teruk terjejas, yang telah dikritik, dengan marah menolak dakwaan itu dan mengancam untuk membuat tuntutan saman.
Namun, pakar memberi amaran agar tidak tergesa-gesa ke peringkat seterusnya untuk melonggarkan perintah berkurung di seluruh negara yang dijadualkan pada 3 Jun, ketika penduduk Itali telah dibenarkan untuk bergerak bebas di seluruh negara buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan dan pelancong luar negara akan dibenarkan memasukinya.
Kerajaan mempunyai kuasa untuk menutup beberapa rantau jika mereka masih menganggap rantau tersebut sebagai risiko penularan.
“Ada kecurigaan yang munasabah bahawa wilayah tersebut menggunakan muslihat sehingga tidak perlu ditutup semula,” kata Nino Cartabellotta, ketua Fondazione GIMBE, sebuah badan pemikir kesihatan, memberitahu penyiaran Radio 24 kelmarin.
Di Lombardy, dia berkata terdapat ‘terlalu banyak perkara aneh tentang data selama tiga bulan terakhir’, termasuk bilangan mereka yang sembuh tatkala mereka telah dibenarkan keluar dari hospital walaupun mereka masih sakit. – AFP
