JOHOR BAHRU, 31 Mei – Pakatan strategik Proton Holdings Bhd dengan syarikat dari China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely Holding), dilihat sebagai satu perancangan masa depan yang bersifat merentas sempadan, kata seorang ahli akademik.
Prof Madya Dr L. Nanthakumar dari Jabatan Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Malaysia berkata, meskipun pakatan itu mendapat kritikan pelbagai pihak, ia harus dilakukan bagi kesinambungan syarikat automotif negara.
“Merentasi sempadan maksud saya adalah bukan sahaja memberi fokus penjualan di peringkat domestik iaitu untuk rakyat.
“Kita kena fikir ‘beyond the box’, bermaksud, dengan adanya kerjasama dengan syarikat China ini, kita juga akan seiring dengan mereka untuk memasarkan produk kita ke negara ASEAN dan rantau lain dalam jangka panjang,” katanya dalam satu temu bual di pejabatnya pada Selasa.

Beliau berkata, tiba masanya untuk Proton mengambil peluang menambah baik kualiti serta pemasaran, dan pada masa sama mempertimbangkan permintaan untuk pasaran baharu kereta nasional itu.
Seiring langkah yang diambil Proton itu, vendor tempatan disaran mempertingkatkan kepakaran bagi meraih peluang supaya tidak ketinggalan dalam arus persaingan yang sihat.
“Dengan adanya kerjasama dengan syarikat China ini, saya nampak vendor tempatan berpeluang menembusi pasaran antarabangsa. Kalau dulu mereka banyak menyokong industri automotif tempatan, sudah (sampai) masanya mereka melihat lebih jauh lagi kerana peluang bakal terbuka luas untuk mereka,” katanya. – Bernama