Tuesday, December 3, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakcik belajar ternak kambing dari Youtube

    BUKIT MERTAJAM, 22 JUN – Biarpun bergelumang dengan najis haiwan, selain menjalani rutin menguruskan kambing seawal 8 pagi, ia tidak sedikit pun membuatkan seorang pesara swasta berasa terbeban.

    Bagi Mamat Ismail, 65, ternakan kecil-kecilan yang diusahakannya di kawasan Bukit Indera Muda di Bukit Mertajam, memberi kepuasan dan kegembiraan.

    Beliau berkata bukan saja kambingnya meraih sambutan penduduk sekitar malah hasil tenusu haiwan itu juga mendapat permintaan tinggi dari luar kawasan terutama Kuala Lumpur.

    Pesara swasta Mamat Ismail, 65, memberi makanan kepada kambing ternakan yang diusahakannya di kawasan Bukit Indera Muda. – Bernama

    “Pakcik mula menternak kambing sejak enam tahun lalu iaitu ketika menghampiri usia persaraan kerana memang sejak muda berminat untuk membela kambing, namun kekangan kerja ketika itu buatkan pakcik tunggu sampai telah tamat kerja baru mulakannya.

    “Pada peringkat awal bermodalkan RM40,000, pakcik hanya memelihara 40 ekor kambing jenis Jamnapari dan Saanen dan sehingga kini jumlah ternakan meningkat kepada 70 ekor. Kalau ikutkan jual kambing bukanlah beri pulangan lumayan mana, namun sebab minat pak cik masih bertahan sehingga sekarang,” katanya kepada Bernama.

    Mamat berkata pada peringkat permulaan beliau banyak belajar menerusi laman sosial YouTube cara menternak kambing termasuk bagaimana memastikan haiwan itu sihat.

    Beliau juga mendapatkan nasihat dan khidmat berkaitan suntikan serta ubat cacing daripada Jabatan Pertanian Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri bagi mengelak tumbesaran kambing terjejas.

    “Dari mula memang pakcik belajar daripada YouTube sahaja, sebab minat mendalam nak bela kambing jadi pakcik betul-betul teroka YouTube untuk tengok macam mana penternak lain bela haiwan ini, cuma cabaran sekarang ini harga dedak dan makanannya naik mendadak sejak tahun lepas,” cerita datuk kepada 19 cucu itu.

    Katanya walaupun dedak mengalami kenaikan harga, beliau tetap memastikan haiwan ternakannya mendapat makanan mencukupi di samping bahan-bahan lain.

    Selain itu, Mamat berkata kambing jenis Saanen merupakan kambing tenusu dan mampu menghasilkan sehingga tiga liter susu setiap hari yang akan dihantar ke Kuala Lumpur.

    Dalam pada itu, beliau berkata tahun ini sebanyak 14 ekor kambing telah ditempah untuk ibadah korban dan jumlah itu berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

    “Kalau sebelum-sebelum ini lebih 20 ekor kambing ditempah untuk dibuat korban, tahun ini kurang sedikit mungkin sebab harga naik kerana kos untuk ternak haiwan ini juga meningkat sekarang ini,” katanya yang menjalankan kerja ternakan sendirian.

    Katanya, beliau mendapat sokongan yang kuat daripada isterinya Mardziah Abdul Rahman, 64, dan anak-anak serta berharap golongan muda menceburi bidang ternakan dengan mendapatkan nasihat serta tunjuk ajar daripada jabatan-jabatan berkaitan.

    Beliau berkata ternakan kambing mampu menghasilkan pendapatan yang baik malah boleh meningkatkan industri ternakan tempatan supaya negara tidak perlu bergantung kepada import. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda