Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakej perbelanjaan Jerman lulus halangan terakhir selepas presiden tandatangan undang-undang

    BERLIN, 23 MAC – Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier kelmarin menandatangani pelonggaran penting had hutang negara bagi meningkatkan perbelanjaan pertahanan serta pakej kewangan bernilai €500 bilion (AS$547 bilion) untuk infrastruktur dan inisiatif iklim, lapor agensi berita Jerman dpa memetik kenyataan pejabatnya.

    Langkah itu bermakna perubahan yang telah diluluskan oleh parlimen awal minggu ini telah melepasi halangan terakhir dan akan berkuat kuasa sebaik sahaja diterbitkan dalam Warta Undang-undang Persekutuan.

    Langkah itu melonggarkan brek hutang yang termaktub dalam perlembagaan Jerman, yang menetapkan had ketat terhadap perbelanjaan kerajaan, khususnya bagi pertahanan, perlindungan awam, perisikan dan keselamatan siber.

    Sebarang perbelanjaan dalam kategori itu yang melebihi satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jerman kini boleh dibiayai melalui pinjaman baharu.

    Selain itu, satu dana khas yang dikecualikan daripada sekatan brek hutang akan diwujudkan dan diisi dengan pinjaman sehingga €500 bilion. Dana itu akan digunakan bagi membiayai pembaikan infrastruktur Jerman yang semakin merosot, dengan €100 bilion diperuntukkan kepada negeri persekutuan dan €100 bilion lagi disasarkan untuk langkah perlindungan iklim serta peralihan hijau.

    Ketua konservatif Friedrich Merz, yang dijangka menjadi Canselor Jerman yang baharu, telah mempercepatkan undian di parlimen sebelum penggal semasa berakhir, dengan menjangkakan cabaran lebih besar untuk mendapatkan sokongan selepas ahli parlimen baharu mengangkat sumpah minggu depan.

    Merz pada Jumaat mempertahankan keputusannya, menegaskan keperluan tindakan segera dalam menghadapi cabaran geopolitik dan keselamatan, termasuk perang yang berterusan di Ukraine serta perubahan dasar Amerika Syarikat. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda