FRANKFURT, JERMAN, 22 JULAI – Para pemimpin Eropah mengambil langkah bersejarah untuk berkongsi beban kewangan di antara 27 negara Kesatuan Eropah (EU) dengan bersetuju untuk memberikan pinjaman dan perbelanjaan bersama untuk menarik ekonomi keluar daripada kemelesetan yang disebabkan oleh wabak virus.
Didorong oleh Angela Merkel dari Jerman dan Emmanuel Macron dari Perancis, para pemimpin bersetuju untuk melakukan pinjaman bersama dengan menjual bon dan menggunakan penilaian kredit kolektif EU yang memastikan kos faedah rendah.
Peruntukan itu nanti akan membantu dana pemulihan 750 bilion euro (AS$855 bilion) yang akan digunakan untuk meningkatkan harapan bagi pemulihan ekonomi tahun depan hingga 2023 dan memulihkan pertumbuhan dan kehilangan pekerjaan dalam ekonomi yang merudum tahun ini.
Keputusan itu juga akan memberikan negara-negara EU manfaat bersama berbanding sebelum ini, di mana kebanyakan negara-negara EU mengalami masalah peruntukan yang sekali gus membantutkan lagi pertumbuhan di kebanyakan negara.
Jerman, yang telah lama menolak pinjaman bersama, memainkan peranan untuk menentukan masa depan mereka dengan mengubah pendekatannya dalam menghadapi krisis ketika Merkel mendesak untuk mencapai kesepakatan.
“Dengan usaha solidariti rentas sempadan yang paling besar, EU akan mencapai perpaduan yang lebih kukuh,” kata Holger Schmieding, ketua ekonomi di bank Berenberg.
Suruhanjaya eksekutif EU meramalkan ekonomi blok itu akan menyusut sebanyak 8.7 peratus tahun ini dan pulih sebanyak 6.1 peratus tahun depan. Matlamat perbelanjaan adalah untuk menyokong kenaikan tersebut. – AP
