Pakej tambahan khusus PKS bernilai RM10 bilion

PUTRAJAYA, 6 APRIL – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus untuk membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Pakej rangsangan tambahan ini akan dapat menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan, katanya semasa mengumumkan pakej tersebut, di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, antara langkah-langkah tambahan yang diambil ialah peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu akan dinaikkan kepada RM13.8 bilion daripada RM5.9 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Di bawah inisiatif tambahan itu, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah antara RM600 hingga RM1,200 bagi setiap pekerja mengikut jumlah bilangan pekerja. – Bernama