NEW DELHI, 19 OKT – Pakistan dan Afghanistan bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas satu pusingan rundingan di Doha, menurut Kementerian Luar Qatar hari ini.
Rundingan damai itu diusahakan dengan perantaraan Qatar dan Turkiye.
“Dalam rundingan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan menubuhkan mekanisme bagi mengukuhkan keamanan serta kestabilan yang berkekalan antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengadakan mesyuarat susulan dalam beberapa hari akan datang bagi memastikan kelangsungan gencatan senjata serta memantau pelaksanaannya secara boleh dipercayai dan berterusan, sekali gus menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di kedua-dua negara,” menurut kenyataan Qatar.
Pada malam kelmarin, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund menghubungi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui telefon, menyatakan hasrat mereka untuk mencapai keamanan.
Akhund berkata Afghanistan tidak menyokong peperangan dan memaklumkan Anwar mengenai rundingan yang diadakan di Doha dengan Pakistan bagi menyelesaikan konflik itu, menurut kenyataan jurucakap Afghanistan Zabihullah Mujahid.
Anwar menyatakan “kesediaan untuk membantu dalam menyelesaikan isu berkenaan dan menekankan kepentingan dialog yang berterusan,” menurut kenyataan Afghanistan itu.
Isu berkaitan hubungan Pakistan-Afghanistan turut dibincangkan dalam perbualan telefon antara Anwar dan Shehbaz kelmarin. – Bernama


