Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakistan alami kelembapan Internet, kerajaan nafi bertanggungjawab

    LAHORE, 20 OGOS –  Orang ramai di Pakistan melaporkan kelmarin bahawa kelajuan Internet lebih perlahan sejak beberapa hari lalu dengan beberapa pakar anggarkan kelajuannya menurun kurang daripada separuh kapasiti biasa pada masa-masa tertentu.

    Masalah itu telah menjejaskan berjuta-juta pengguna, mengganggu perniagaan dan menarik aduan di seluruh negara, sementara pihak berkuasa pula menafikan dakwaan bahawa pemasangan firewall nasional adalah di sebalik kelembapan itu.

    Sejak Februari, pengguna sama ada disekat penggunaan media sosial atau mengalami akses terhad berikutan tindakan keras kerajaan sebelum pilihan raya parlimen 8 Februari lalu. Walau bagaimanapun, kelajuan Internet semakin perlahan.

    Pengguna tidak dapat menghantar e-mel atau menggunakan perkhidmatan pemesejan WhatsApp dengan cepat dengan ahli perniagaan dan doktor mengatakan ia telah menjejaskan kerja harian mereka.

    Persatuan Rumah Perisian Pakistan, wakil syarikat pakar dalam teknologi maklumat berkata dalam satu kenyataan minggu ini bahawa gangguan itu boleh menyebabkan kerugian A$300 juta kepada ekonomi negara yang sudah sedia rapuh itu. Persatuan itu juga menuduh kerajaan “memasang firewall nasional dengan tergesa-gesa,” yang membawa kepada sambungan perlahan.

    Shahzad Arshad, penyedia perkhidmatan Internet berkata bahawa perniagaanya menderita kerana mereka tidak dapat menghubungi pelanggan antarabangsa atau menghadapi masalah menghantar dan menerima fail.

    Chaudhry Arif, yang menjalankan syarikat perisian di Islamabad, juga berkata kelajuan Internet adalah dari 40 peratus hingga 80 peratus lebih perlahan berbanding minggu sebelumnya, tanpa tanda-tanda peningkatan.

    Pada hari Ahad, Menteri Maklumat dan Teknologi Pakistan, Shiza Fatima berkata kerajaan tidak bersalah dalam hal berkenaan dan tiada sekatan baharu dikenakan. Beliau berkata telefon lambat disambungkan ke ruang siber dalam beberapa kes kerana penggunaan rangkaian peribadi maya atau VPN. Namun, beberapa orang menolak penjelasan Fatima.

    Umayr Hassan, seorang jurutera perisian, berkata pihak berkuasa harus menyatakan dengan jelas jika sambungan akan kekal tidak stabil disebabkan oleh langkah keselamatan. “Perlu ada sedikit penjelasan logik oleh kerajaan, bukan mengatakan penggunaan VPN.”

    Fatima berkata pihak berkuasa telah ‘berusaha sedaya upaya’ untuk mencari punca masalah sambil mengakui bahawa kerajaan sedang menaik taraf sistemnya untuk meningkatkan keselamatan siber.

    Fareeha Aziz, seorang aktivis hak digital, mahu kerajaan menjelaskan punca sambungan perlahan. “Kerajaan berkata ia tidak berada di belakang kelembapan Internet. Jadi siapa yang melakukannya?” dia bertanya.

    Pakistan mempunyai 110 juta pengguna nternet, hampir separuh daripada penduduk negara itu. – AP

    Seorang warga Pakistan menunggu lama untuk membuka halaman kerana Internet yang perlahan di Lahore, Pakistan kelmarin.  – AP Photo

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda