ISLAMABAD, 4 JAN – Pihak berkuasa hari ini mengarahkan pusat beli-belah dan pasar raya-pasar raya ditutup pada 8:30 malam sebagai sebahagian daripada rancangan pemuliharaan tenaga baharu bertujuan untuk mengurangkan krisis ekonomi Pakistan.
Langkah itu dibuat di tengah-tengah rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Kelmarin, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Mohammad Asif dan Menteri Tenaga, Ghultam Dastghir berkata kerajaan memutuskan untuk menutup gedung beli-belah lebih awal sebagai sebahagian daripada pelan penjimatan tenaga baharu yang diluluskan oleh Kabinet.
Pihak berkuasa juga mengarahkan dewan perkahwinan dan restoran ditutup pada pukul 10 malam.
Kerajaan menjangkakan langkah itu dapat menjimatkan tenaga dan mengurangkan kos minyak import, yang mana Pakistan membelanjakan AS$3 bilion setiap tahun.
Di Pakistan, kebanyakan tenaga elektrik dijana menggunakan minyak import.
Setakat ini, terdapat pelbagai reaksi daripada wakil pusat beli-belah, restoran dan pemilik kedai yang mahu kerajaan mengubah keputusan itu.
Ini kerana, ramai warga Pakistan gemar membeli-belah dan menjamu selera di restoran selewat-lewatnya tengah malam. – AP