Thursday, June 8, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    Pakistan berdepan gelombang haba

    JACOBABAD, 13 MEI – Pakistan hari ini dilanda gelombang haba, dengan beberapa kawasan di negara itu sebelum ini mencatatkan suhu hampir 50 darjah Celsius dan pegawai memberi amaran mengenai kekurangan bekalan air serta ancaman kesihatan.

    Sebahagian besar kawasan di Pakistan menjadi kering disebabkan suhu tinggi sejak penghujung April, dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memberi amaran cuaca ekstrem itu berpunca daripada perubahan iklim.

    Kelmarin, bandar Jacobabad di wilayah Sindh merekodkan suhu setinggi 49.5 darjah Celsius, menurut Jabatan Meteorologi Pakistan (PMD), dengan ramalan suhu cuaca kekal tinggi sehingga hujung minggu.

    “Ia terasa seperti kebakaran berlaku di sekeliling,” kata Shafi Mohammad yang tinggal di luar bandar Jacobabad, dan memberitahu penduduk bergelut untuk mendapatkan air minuman.

    PMD memberi amaran bahawa suhu cuaca dicatatkan antara 6 hingga 9 darjah Celsius lebih tinggi daripada kebiasaan di seluruh negara, dengan Islamabad serta beberapa wilayah termasuk Karachi, Lahore dan Peshawar juga merekodkan suku kira-kira 40 darjah Celsius hari ini.

    “Cuaca tahun ini berubah begitu mendadak dari cuaca sejuk kepada cuaca panas,” kata ketua PMD, Zaheer Ahmad Babar.

    Pakistan mengalami ledakan gelombang haba sejak 2015, katanya, dan ia tertumpu di bahagian atas wilayah Sindh dan wilayah Punjab di selatan.

    Jurucakap di kawasan pengairan wilayah Punjab, Adnan Hassan berkata Sungai Indus – laluan air utama Pakistan – berkurangan 65 peratus disebabkan ‘kekurangan hujan dan salji’ pada tahun ini. – AFP

    Penduduk di wilayah Sindh membawa air minuman menggunakan bekas semasa gelombang haba melanda Pakistan.- AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Australia haram simbol Nazi

    SYDNEY, 8 JUN - Australia pada hari Khamis mengumumkan ia akan melarang pameran awam simbol Nazi, ketika negara itu bergumul dengan kumpulan kecil ekstremis...
    - Advertisment -