Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakistan ditimpa wabak pasca banjir

    JOHI, PAKISTAN – Meskipun kepalanya diselubungi nyamuk, Aamir Hussain berdiri di atas bumbung rumahnya di selatan Pakistan meninjau air banjir yang kohong di sekeliling kawasan rumahnya.

    Empat bulan selepas bermulanya hujan monsun yang dikaitkan dengan perubahan iklim, air yang bergenang itu telah berubah menjadi tempat pembiakan malaria, kolera dan denggi.

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai ‘gelombang kedua’ bencana, dengan risiko kematian akibat penyakit bawaan air dan pemakanan tak seimbang mengatasi 1,700 orang yang mati lemas dan terkena renjatan elektrik dalam banjir pertama.

    Menjelang waktu senja kala di kampung Hussain yang dibanjiri di daerah Dadu, wilayah Sindh, serangga-serangga berterbangan di sekeliling rumah dan berisiko menjangkiti isteri serta dua anaknya.

    “Nyamuk menggigit kami semua sehingga kami jatuh sakit,” kata lelaki ber-usia 25 tahun itu, berada di atas bumbung binaan bata di mana perkarangan rumahnya dikelilingi lumpur busuk.

    Gambar bertarikh 27 September 2022 menunjukkan penduduk meredah air banjir di kawasan terjejas di daerah Dadu, wilayah Sindh. – AFP
    Penduduk yang terjejas akibat banjir duduk di luar kem mereka. – AFP
    Seorang kanak-kanak menerima rawatan di sebuah wad hospital di Johi. – AFP

    Abangnya, yang berkongsi rumahnya, telah pun turun dari bumbung untuk menjaga anaknya yang sakit di hospital dengan wang yang dipinjam.

    “Ada di antara kelambu kami sudah koyak dan kami berasa bimbang,” kata Hussein, dengan anak lelakinya juga telah jatuh sakit.

    Kawasan Sindh telah terjejas teruk oleh banjir yang menenggelami satu pertiga daripada Pakistan, menyebabkan lapan juta penduduk kehilangan tempat tinggal, memusnahkan atau merosakkan dua juta rumah, melumpuhkan 1,500 hospital dan klinik serta mengakibatkan kerosakan bernilai kira-kira AS$28 juta.

    Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rahman berkata baru-baru ini, lebih 20 juta penduduk masih memerlukan bantuan ‘dengan masa depan yang tidak menentu.’ Lapan juta daripada jumlah tersebut memerlukan ‘perkhidmatan perubatan segera’, katanya.

    Zahida Mallah telah pun dibelenggu perasaan gelisah.

    Di sebuah kem terletak di selatan Dadu, di luar bandar Hyderabad, wanita berusia 35 tahun itu menjelaskan dia sedang berkabung kematian anak lelaki kembarnya berusia dua bulan.

    Seorang meninggal dunia pada hari wartawan AFP melawat, yang kedua pula meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu di kem berasingan.

    Mereka maut akibat ‘kesejukan,’ katanya, selepas tidur di kawasan terbuka. Dia ditawarkan sebuah khemah hanya selepas segala-galanya terlambat.

    “Kami sentiasa bergelut dan berdepan kesukaran,” keluhnya.

    Tidak jauh, bandar Johi hanya boleh diakses menerusi perahu cabuk yang menggunakan enjin petrol berminyak.

    Penduduk berkumpul untuk menyelamatkan kampung ketika hujan turun, menghimpun beg pasir di tetambak sementara. Namun ia gagal membendung penyakit tersebut.

    Di sebuah klinik kecemasan yang usang, seorang doktor merawat seorang budak perempuan tenat berusia tujuh tahun, Kashaf, disyaki dijangkiti malaria, yang terlantar di atas kain cadar kotor.

    “Mungkin ia bencana semula jadi, atau mungkin kami diuji Tuhan, namun apa-apa pun, kami adalah mangsa,” kata bapanya, Dildar Mastoi, 20 tahun.

    Di bawah skarf hitam, mata anak perempuannya terjegil dan hanya menampakkan bahagian putih. Dia tidak lagi mengenali ibu bapanya – doktor berkata demam panasnya telah menjejas otaknya.

    Pada usia amat muda, ibu dan bapanya melarikan diri daripada air banjir dua kali sebelum tinggal di sebuah kem di mana mereka meminum air dari sebuah telaga yang disyaki tercemar akibat air banjir.

    “Dari awal petang sehingga subuh, sepanjang malam, nyamuk keluar dalam jumlah yang tidak terhingga,” kata ibu Kashaf, Bashiran Mastoi, 19 tahun. “Apabila malam menjelang, kami mula berasa bimbang.”

    “Kehidupan di kem amat sengsara,” katanya ketika menjaga anaknya yang sakit.

    Doktor Manzoor Shahani berkata malaria, penyakit usus dan denggi telah meningkat mendadak manakala ‘kebanyakan pesakit terdiri daripada kanak-kanak dan wanita mengandung.’

    Sebelum banjir melanda, kawasan selatan Pakistan telah pun musnah akibat kemiskinan yang mengazabkan. Sekarang bantuan hanya dapat disalurkan ke beberapa kawasan paya, sementara jumlah sebenar golongan yang memerlukan belum diketahui.

    Doktor dan pegawai memberikan angka yang berbeza, ketika mereka bergelut untuk memahami skala bencana yang menimpa. Di Dadu, jumlah kematian rasmi adalah 23, namun semua orang bersetuju angka sebenar mesti jauh lebih tinggi.

    “Ia adalah kemusnahan di luar kawalan dan pendekatan kerajaan,” kata pengawas kesihatan wilayah Faheem Soomro, ketika doktor muda mengira pesakit baharu di bilik mesyuarat.

    Separuh daripada ujian malaria kembali positif dan kebanyakan rumah disyaki mempunyai kes.

    Wilayah Sindh telah mencatat 208,000 kes malaria setakat ini pada tahun ini, peningkatan mendadak berbanding tahun 2021, apabila kes dilaporkan. Terbiar tanpa rawatan – seperti yang berlaku di kawasan terjejas Sindh – malaria boleh membawa kematian dengan cepat. Pada tahun biasa, terdapat 50,000 kematian akibat malaria di Pakistan.

    Soomro menyifatkannya sebagai ‘demam tersembunyi’. Ia mempunyai gejala seakan-akan selesema – apabila parasit bawaan nyamuk memasuki hati dan aliran darah, dan dalam kes parah menyebabkan otak bengkak.

    Krisis penjagaan kesihatan paling senang dipantau di kem – terdapat 19 kes di Dadu – di mana pelarian paling bernasib baik kini tinggal dalam deretan khemah berbentuk A.

    Di salah sebuah ‘bandar khemah’ di mana kira-kira 5,000 orang tinggal, penduduk bersesak-sesak mendapatkan rawatan di gazebo atau pondok kecil di mana doktor menguji mereka untuk penyakit malaria dan malnutrisi, sementara yang lain menawarkan vaksinasi dan nasihat kesihatan wanita.

    Soomro menganggarkan 60 peratus daripada penduduk pernah tinggal dalam kem seperti ini, namun tiga perempat daripada jumlah tersebut telah kembali semula ke daerah pedalaman untuk memulakan kehidupan baharu, sering kala terputus bekalan bantuan.

    Di luar kem, pelarian boleh kelihatan di mana-mana tempat – dalam kem dan di atas katil yang dikelilingi tasik yang bergenang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda