LAHORE, PAKISTAN, 24 OKT – Pihak berkuasa Pakistan buat julung kalinya menggunakan meriam anti-asbut di bandar timur Lahore pada musim sejuk ini bagi menangani pencemaran udara yang berbahaya, menurut pegawai kelmarin.
Jurucakap Agensi Perlindungan Alam Sekitar Punjab (EPA), Sajid Bashir, berkata lebih 12 peranti yang dipasang pada trak kini digunakan di beberapa kawasan di bandar itu bagi menyembur kabus air halus untuk membantu memendapkan habuk dan zarah bawaan udara.
Menurutnya, sebanyak 15 peranti anti-asbut telah digerakkan di sekitar bandar tersebut.
Namun, Bashir menjelaskan tahap pencemaran yang semakin memburuk berpunca dari asap kenderaan, pelepasan industri, habuk pembinaan serta pembakaran sisa tanaman oleh petani.
“Kami berharap penggunaan meriam anti-asbut ini dapat membantu mengurangkan tahap pencemaran udara,” katanya sambil memberi amaran tiupan angin dari seberang sempadan boleh memburukkan keadaan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Setiap kali menjelang musim sejuk, asbut tebal menyelubungi Lahore, memaksa penutupan sekolah dan memaksa jutaan penduduk kekal di dalam rumah. Tahun lalu, pihak berkuasa pernah menguji kaedah hujan buatan bagi mengurangkan jerebu, namun usaha itu tidak memberikan kesan.
Bandar yang suatu ketika dahulu digelar Bandar Taman kerana keindahan landskap era Mughal yang menghijau itu kini kehilangan sebahagian besar kehijauannya akibat pembandaran pesat dan pertumbuhan penduduk, menjadikan Lahore kini bergelut dengan langit kelabu beracun setiap musim sejuk. – AP


