Saturday, April 19, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakistan hantar pulang 60,000 warga Afghanistan ke Kabul

    ISLAMABAD, 17 APRIL – Menteri Luar Pakistan berkata hari ini, beliau akan melawat Kabul dalam beberapa hari lagi, ketika kempen Islamabad untuk mengusir warga Afghanistan telah memaksa hampir 60,000 orang pulang ke Afghanistan.

    Islamabad sebelum ini menyatakan pihaknya akan menghantar pulang lebih 800,000 warga Afghanistan kerana didakwa terlibat dengan aktiviti keganasan dan penyeludupan dadah, namun penganalisis berpendapat tindakan itu bermotifkan politik.

    “Mesyuarat persediaan sedang berjalan dan insya-Allah, dalam beberapa hari, saya akan melawat Kabul sehari untuk cuba merungkai kebuntuan yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu,” kata Menteri Luar merangkap Timbalan Perdana Menteri, Mohammad Ishaq Dar.

    Pakistan merupakan salah satu daripada tiga negara yang mengiktiraf kerajaan pertama Taliban pada tahun 1990an dan dituduh secara rahsia menyokong pemberontakan mereka terhadap pasukan NATO.

    Namun hubungan kedua-dua pihak merosot selepas keganasan di kawasan sempadan Pakistan meningkat sejak Taliban kembali berkuasa di Kabul pada 2021.

    Polis menyoal siasat warga Afghanistan sebelum mereka dihantar pulang, di sebuah kem di kawasan Panjpai di pinggir Quetta pada 16 April. – AFP

    Tahun lalu merupakan tahun paling berdarah di Pakistan dalam sedekad, dengan Islamabad menuduh Kabul membenarkan militan bersembunyi di Afghanistan dan merancang serangan dari sana.

    Kerajaan Taliban menafikan dakwaan itu.

    Pada Selasa, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata Pakistan telah mengusir hampir 60,000 warga Afghanistan sejak awal April.

    PBB melaporkan hampir tiga juta warga Afghanistan tinggal di Pakistan, ramai di antaranya sudah berada di negara itu selama beberapa dekad atau dilahirkan di sana selepas melarikan diri daripada konflik berterusan.

    Kerajaan Pakistan telah membatalkan permit kediaman lebih 800,000 warga Afghanistan dan memberi amaran kepada mereka yang masih menunggu proses penempatan ke negara ketiga supaya meninggalkan Pakistan sebelum akhir April.

    Lebih 1.3 juta pemegang Kad Bukti Pendaftaran yang dikeluarkan oleh agensi pelarian PBB telah diarahkan meninggalkan ibu negara dan bandar berdekatan, Rawalpindi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda