LAHORE, 22 JAN – Badan perundangan di wilayah Punjab, Pakistan,kelmarin telah meluluskan undang-undang yang mengharamkan aktiviti menerbangkan layang-layang secara kekal.
Langkah itu termasuk hukuman penjara yang lebih berat dan denda tinggi terhadap individu yang menerbangkan layang-layang mahupun pengeluar peralatan tersebut.
Peraturan baharu itu dikuatkuasakan menjelang sambutan festival tradisional Basant, yang bertumpu pada aktiviti menerbangkan layang-layang untuk meraikan kedatangan musim bunga.
Larangan awal aktiviti itu diperkenalkan pada 2005 di Lahore selepas sekurang-kurangnya 11 orang maut akibat terkena tali layang-layang yang disalut logam atau kaca ketika pertandingan berlangsung. Larangan itu kemudian diperluaskan ke seluruh wilayah dan kini dilaksanakan sepenuhnya di seluruh Punjab.
Mujtaba Shuja-ur-Rehman, seorang ahli parlimen dari parti pemerintah Liga Muslim Pakistan, membentangkan rang undang-undang tersebut di Dewan Undangan Punjab kelmarin dan ia diluluskan dengan majoriti. Individu yang melanggar undang-undang itu boleh dikenakan hukuman penjara tiga hingga lima tahun serta denda maksimum sebanyak 2 juta rupee (AS$7,200).
Selain itu, pengeluar layang-layang dan tali layang-layang berisiko menghadapi hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda sebanyak 5 juta rupee (AS$18,000). Menurut Rehman, undang-undang itu adalah keperluan mendesak bagi melindungi nyawa orang awam.
Festival Basant yang berusia berabad-abad secara tradisinya disambut dengan ribuan layang-layang menghiasi langit. Perkataan Basant merujuk kepada warna kuning dalam bahasa Hindi, simbolik kepada bunga-bunga kuning yang mekar menjelang musim bunga. – AP