ISLAMABAD, 7 Nov – Kerajaan Pakistan pada Isnin mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Nayyar Iqbal Rana, seorang pegawai diplomatik yang berkhidmat di Konsulat Jeneral Pakistan di Jalalabad, Afghanistan, lapor Associated Press of Pakistan (APP). Rana telah ditembak oleh dua penyerang tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal di sebuah kedai berhampiran rumah mangsa pada Isnin.
Presiden dan Perdana Menteri Pakistan dalam mesej berasingan telah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam itu serta menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa, kata Pejabat Luar Negeri dalam satu kenyataan kepada media.
Sementara itu, Menteri Luar dalam mesejnya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan turut mengecam tindakan ganas yang tragis ini. Beliau menggesa kerajaan Afghanistan mengambil langkah segera untuk memberkas pelaku dan memastikan keselamatan kakitangan diplomatik Pakistan dan misi negara itu di Afghanistan.
Para pegawai dan kakitangan Kementerian Luar turut mengucapkan takziah kepada keluarga Nayyar Iqbal Rana, yang telah menamatkan tempoh tiga tahun perkhidmatannya di Jalalabad dan dijadualkan kembali bertugas di ibu pejabat. Rana, 52, meninggalkan seorang balu dan lima anak.
Setiausaha Luar Tehmina Janjua telah memanggil Kuasa Usaha Afghanistan ke Pejabat Luar Negeri Pakistan untuk mengemukakan satu bantahan keras berhubung tindakan kejam itu dan mendesak agar pelaku keganasan tersebut segera diberkas dan diheret ke muka pengadilan.
Setiausaha luar juga meminta misi dan diplomat Pakistan di Afghanistan diberikan jaminan kawalan keselamatan yang tidak mungkin gagal atau disalahgunakan. – Bernama