Tuesday, January 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakistan kecewa kurang sokongan global untuk pelarian Afghanistan

    NEW DELHI, 20 JAN – Pakistan meluahkan rasa kecewa terhadap kekurangan sokongan antarabangsa dalam membantu jutaan pelarian Afghanistan yang ditampungnya.

    Lebih empat dekad konflik dan ketidakstabilan di Afghanistan telah menyebabkan jutaan menjadi pelarian, yang kebanyakannya mencari perlindungan di sempadan Pakistan dan Iran.

    Sementara itu, Majlis Pelarian Norway (NRC) mengetengahkan kesukaran yang dihadapi pelarian Afghanistan yang pulang ke tanah air untuk membina semula kehidupan mereka.

    Setiausaha Agung NRC Jan Egeland dalam lawatannya ke Afghanistan, berkata Pakistan telah menghantar pulang 800,000 pelarian manakala Iran merancang untuk mengusir dua juta pelarian Afghanistan yang berdepan keadaan penempatan semula yang amat sukar.

    Pakistan mengalu-alukan usaha Egeland dalam ‘menarik perhatian kepada keadaan kemanusiaan di Afghanistan’ tetapi menuntut tindakan antarabangsa yang serius untuk membantu rakyat Afghanistan yang kehilangan tempat tinggal.

    “Adalah lebih wajar sekiranya dunia tidak meninggalkan rakyat Afghanistan selepas perang dan sekiranya keadaan sosioekonomi yang kondusif diwujudkan di dalam negara untuk membolehkan rakyat Afghanistan makmur,” menurut Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan kelmarin.

    Jumlah pelarian Afghanistan yang dilaporkan di seluruh dunia adalah sebanyak 6.4 juta pada akhir 2023, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

    Selain pelarian yang didaftarkan dengan UNHCR, Pakistan dan Iran turut menampung sejumlah besar pelarian tidak berdokumen.

    Pakistan menyatakan telah menampung lebih empat juta pelarian Afghanistan selama empat dekad dan mereka yang dihantar pulang adalah individu yang tinggal secara haram.

    “Kemajuan kes ribuan rakyat Afghanistan yang dijanjikan penempatan semula di negara Barat masih berjalan dengan sangat perlahan. – Bernama

    Gambar fail menunjukkan pelarian Afghanistan yang dihantar pulang dari Pakistan menerima bantuan makanan oleh Persatuan Palang Merah di Kandahar pada 24 Januari 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda