PESHAWAR, 27 JULAI – Pakistan kelmarin memberi amaran tentang banjir glasier di barat laut dengan lebih banyak ramalan hujan di kawasan itu pada minggu akan datang.
Hujan adalah lebih lebat di wilayah Khyber Pakhtunkhwa berbanding tempoh yang sama tahun lalu, mendorong amaran cuaca dan amaran banjir akibat pencairan tasik glasier, kata jurucakap pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan, Anwar Shahzad.
Surat daripada pihak berkuasa yang dihantar pada pertengahan Julai berkata suhu tinggi yang berterusan boleh mempercepatkan pencairan salji dan glasier serta perubahan cuaca di kawasan yang mudah terjejas di rantau itu.
Dr Abdul Samad, dari Jabatan Pelancongan Khyber Pakhtunkhwa, berkata pasukan penyelamat memindahkan lebih 500 pelancong dari Naran selepas hujan yang mencurah-curah semalam menyebabkan jalan ditutup. Pihak berkuasa mengerahkan jentera berat untuk memindahkan serpihan dan memulihkan jalan berkenaan.
Di wilayah Gilgit-Baltistan, kerajaan berkata ia telah menyediakan ratusan khemah, ribuan paket makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.
Jurucakap, Faizullah Firaq berkata kelmarin terdapat kemusnahan teruk di beberapa kawasan dan kerosakan rumah, infrastruktur, tanaman dan perniagaan.
Operasi menyelamat sedang dijalankan untuk mencari orang hilang di Lebuhraya Babusar, di mana banjir melanda sembilan buah kampung. Manakala helikopter dikerahkan untuk menyelamatkan para pelancong yang terperangkap di tempat popular Fairy Meadows, tambahnya.
Pakistan telah mengalami taburan hujan melebihi purata musim tengkujuh, menimbulkan kebimbangan berulangnya kejadian banjir besar 2022 yang menenggelamkan satu pertiga daripada negara itu dan membunuh 1,737 orang. Kira-kira 260 orang telah terbunuh di seluruh Pakistan setakat musim ini akibat hujan lebat, yang berlarutan hingga pertengahan September. – AP
