Sunday, July 27, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakistan ketuai majlis keselamatan PBB bagi Julai

    ISTANBUL, 2 JULAI – Pakistan secara rasmi mengambil alih kerusi presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi bulan Julai, dalam penggal dua tahunnya sebagai anggota tidak tetap yang bermula pada 1 Januari lalu.

    Wakil Tetap Pakistan ke PBB yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB bagi Julai, Duta Asim Iftikhar Ahmad mengadakan sidang media kelmarin untuk menjelaskan keutamaan Pakistan semasa menjadi presiden, lapor Anadolu Ajansi.

    Beliau menegaskan komitmen negaranya terhadap penyelesaian pertikaian secara aman dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa semasa mengetuai majlis berkenaan buat kali kelapan.

    Ahmad berkata, Pakistan akan melaksanakan tugas sebagai presiden dengan penuh ketelusan, keterangkuman dan responsif terhadap krisis, sambil menghargai penyertaan aktif negara anggota.  Beliau menegaskan pendekatan Pakistan mencerminkan rasa tanggungjawab dan tekad untuk mempertahankan prinsip Piagam PBB.

    Sesi peringkat tinggi pertama akan diadakan pada 22 Julai nanti, dengan fokus kepada usaha mempromosikan keamanan antarabangsa melalui multilateralisme dan penyelesaian pertikaian secara aman, yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Muhammad Ishaq Dar.

    Satu lagi sesi akan diadakan pada 24 Julai bagi membincangkan kerjasama PBB dengan pertubuhan serantau, termasuk taklimat bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), katanya.

    Ahmad turut mengumumkan rancangan untuk menaik taraf perbincangan berkala berhubung konflik Israel-Palestin ke peringkat menteri, menekankan tanggungjawab Majlis untuk melindungi orang awam dan menjunjung undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    “Ini tanggungjawab kami. Kami sedang berusaha dan akan terus berusaha.  Kami berharap dapat mengatasi segala halangan dan akhirnya mencadangkan sesuatu daripada Majlis yang boleh menyumbang kepada gencatan senjata serta keamanan dan kestabilan,” katanya.

    Ahmad turut menyatakan bahawa persidangan yang tertangguh mengenai penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin perlu disambung semula.

    “Semua perbincangan dan aspek berkaitan isu Palestin, khususnya krisis kemanusiaan di Gaza, terus menjadi perhatian Majlis Keselamatan,” katanya. 

    Jawatan Presiden Majlis Keselamatan PBB bertukar secara bulanan mengikut susunan abjad dalam kalangan 15 anggotanya. Pakistan dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan dengan sokongan besar, memperoleh 182 undi daripada 193 negara anggota PBB pada Jun 2024.

    Majlis Keselamatan PBB terdiri daripada lima anggota tetap yang mempunyai kuasa veto iaitu Amerika Syarikat, Rusia, China, Perancis dan Britain serta 10 anggota tidak tetap yang dipilih untuk tempoh dua tahun. – Bernama/Anadolu 

    Suasana semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 30 Jun. Pakistan ketuai mesyuarat berkenaan bulan Julai. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda