Pakistan kutuk provokasi Islamofobia di Sweden

NEW DELHI, 19 APRIL – Pakistan turut menyertai Malaysia dan negara-negara Islam lain mengutuk tindakan provokatif Islamofobia serta mengkritik kumpulan pelampau yang merancang untuk membakar naskhah Al-Quran di bandar-bandar di Sweden.

Pemimpin pelampau Denmark, Rasmus Paludan dari parti Stram Kurs telah membakar salinan kitab suci itu di Linkoping Sweden, menurut laporan media.

“Insiden provokatif Islamofobia itu tidak lain hanya bertujuan menyentuh sensitiviti lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia. Masyarakat antarabangsa perlu menunjukkan keazaman bersama menentang xenofobia, sikap tidak bertolak ansur dan hasutan kepada keganasan atas dasar agama atau kepercayaan, dan bekerjasama untuk menggalakkan keharmonian antara agama dan keamanan bersama.

“Itulah semangat di sebalik inisiatif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini yang diketuai Pakistan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamophobia,” menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan (MOFA) pada Isnin.

Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha dan beberapa negara Islam, termasuk Arab Saudi, Iraq dan Turki, pada Isnin mengecam provokasi terancang itu.  Menurut Kementerian Luar Turki serangan terhadap al-Quran di Sweden “menunjukkan mereka masih tidak belajar dari masa lalu, bahawa masih ada keraguan untuk menghalang tindakan provokasi Islamofobia dan perkauman.”

Sementara Setiausaha Agung OIC berkata perlakuan itu adalah manifestasi jelas pemikiran perkauman dan xenofobia penganjur dan tindakan mereka bertentangan dengan semua norma dan nilai masyarakat bertamadun. – Bernama