ISLAMABAD, 20 JUN – Pakistan kelmarin melancarkan Dasar Kenderaan Elektrik (EV) Kebangsaan 2025-30, dengan matlamat untuk memacu penggunaan pengangkutan bersih, mengurangkan import bahan api serta merancakkan pengeluaran tempatan, menurut Kementerian Perindustrian dan Pengeluaran negara itu.
Bercakap semasa majlis pelancaran, Penolong Khas Perdana Menteri bagi Industri dan Pengeluaran, Haroon Akhtar Khan menyifatkan dasar tersebut sebagai ‘langkah bersejarah dan transformatif’ ke arah pembaharuan dalam bidang alam sekitar, tenaga dan perindustrian.
Di bawah dasar baharu ini, Pakistan menyasarkan 30 peratus daripada semua jualan kenderaan baharu menjadi elektrik menjelang 2030. Peralihan itu dijangka akan menjimatkan 2.07 bilion liter bahan api setiap tahun, mengurangkan 4.5 juta tan pelepasan karbon, serta menjimatkan hampir AS$1 bilion dalam pertukaran asing, menurut anggaran kerajaan.
Bagi menyokong peralihan itu, kerajaan telah memperuntukkan subsidi awal sebanyak 9 bilion rupee Pakistan (sekitar AS$32 juta) bagi tahun kewangan 2025-2026, yang akan memberi manfaat kepada lebih 116,000 motosikal elektrik dan lebih 3,000 beca elektrik.
Menariknya, sebanyak 25 peratus daripada subsidi itu diperuntukkan khusus untuk wanita bagi menjamin mobiliti yang inklusif dan selamat.
Dasar tersebut turut menggariskan ranca-ngan pembinaan 40 stesen pengecasan EV di sepanjang lebuh raya negara, sistem pertukaran bateri dan integrasi titik pengecasan EV dalam kod bangunan nasional. – Xinhua
