ISLAMABAD, 27 DIS – Pakistan melaporkan dua lagi kes polio, menjadikan jumlah kes di negara itu hingga tahun ini meningkat kepada 67 kes, menurut Institut Kesihatan Nasional (NIH) hari ini.
Kedua-dua kes itu disahkan dari Daerah Tank di bahagian barat laut dan Daerah Kashmore di selatan, kata NIH.
NIH menambah bahawa ia merupakan kes polio keempat dari Tank dan kes kedua dari Kashmore tahun ini.
Data menunjukkan bahawa daripada jumlah kes, 27 dilaporkan dari wilayah Balochistan di bahagian barat daya, 19 kes di wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut, 19 kes dari wilayah Sindh di selatan, dan satu dari wilayah Punjab di bahagian timur dan ibu kota Islamabad.
Program Polio Pakistan menjalankan pelbagai vaksinasi besar-besaran pada tahun 2024. Kempen vaksinasi berskala besar terbaharu dilakukan awal bulan ini di 143 daerah dengan sasaran untuk memberikan vaksin kepada lebih dari 44 juta kanak-kanak di bawah lima tahun. Fasa kedua kempen itu akan diadakan pada 30 Disember.- Xinhua