ISLAMABAD, 21 APRIL – Pakistan hari ini memulakan kempen vaksinasi kedua peringkat kebangsaan selama seminggu yang bertujuan melindungi 45 juta kanak-kanak daripada jangkitan polio, kata pegawai.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pakistan dan negara jirannya, Afghanistan, kekal sebagai dua negara terakhir di dunia di mana virus polio yang berpotensi membawa maut dan menyebabkan lumpuh itu masih belum berjaya dibasmi sepenuhnya.
Sejak Januari, Pakistan telah merekodkan hanya enam kes polio. Tahun lalu, negara Asia Selatan itu menyaksikan lonjakan kes polio, meningkat kepada 74 kes, berbanding hanya satu kes yang dilaporkan pada tahun 2021.
Menteri Kesihatan Pakistan, Mustafa Kamal, menyeru ibu bapa agar memberi kerjasama kepada kakitangan perubatan yang akan melawat dari rumah ke rumah untuk memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak.
Petugas kesihatan sering menjadi sasaran serangan oleh militan yang mendakwa, tanpa asas, bahawa usaha vaksinasi ini adalah sebahagian daripada konspirasi Barat untuk mensterilkan kanak-kanak Muslim.
Sejak tahun 1990an, lebih 200 petugas vaksinasi polio dan anggota polis yang ditugaskan melindungi mereka telah terbunuh dalam serangan sedemikian. – AP
