Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakistan rayu dapatkan sumbangan antarabangsa

    ISLAMABAD, 3 JAN – Menteri Luar Pakistan hari ini mengeluarkan rayuan menjelang persidangan utama minggu hadapan, dengan menggesa komuniti antarabangsa untuk memberikan sumbangan untuk mangsa banjir negara itu.

    Persidangan di Geneva pada Isnin, yang dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pakistan, bertujuan untuk mengumpulkan dana untuk mangsa banjir pada musim panas lalu, yang mana pakar menyatakan ia sebahagiannya berpunca daripada perubahan iklim.

    Bencana itu membunuh 1,739 orang dan menjejaskan 33 juta orang rakyat Pakistan. Pada suatu ketika, satu pertiga negara itu ditenggelami air.

    Menteri Luar, Bilawal Bhutto-Zardari hari ini cuba meraih perhatian untuk mangsa yang terselamat, ramai daripada mereka kini terpaksa tinggal di kawasan terbuka semasa cuaca ribut yang teruk. Katanya, matlamatnya adalah untuk mengingatkan dunia tentang mangsa banjir.

    PBB baru-baru ini memberi amaran bahawa dana yang dikumpul untuk mangsa banjir Pakistan setakat ini akan habis selepas 15 Januari kerana badan dunia setakat ini hanya menerima satu pertiga daripada dana kecemasan bernilai AS$816 juta yang diminta pada Oktober lalu untuk mendapatkan makanan, ubat-ubatan dan bekalan lainnya untuk mangsa yang terselamat.

    “Ia bukan salah rakyat Pakistan yang tidak bersalah, namun mereka terpaksa menerima padah disebabkan oleh banjir berpunca daripada perubahan iklim,” kata Bhutto-Zardari di Bain, salah sebuah kawasan yang paling teruk terjejas di wilayah selatan Sindh.

    Banjir tersebut telah mengakibatkan kerosakan bernilai AS$40 bilion, menurut pakar, dan tanpa bantuan antarabangsa, Pakistan mungkin tidak akan mampu untuk membangunkan semula kemusnahan kediaman dan infrastruktur. – AP

    Gambar bertarikh 15 September 2022 menunjukkan para penyelamat memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Jamshoro, Pakistan.- Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda