Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakistan tamatkan semua sekatan COVID-19

    KARACHI, 25 FEB – Pakistan hari ini mengumumkan menamatkan semua sekatan COVID-19 membolehkan semua aktiviti komersial di seluruh negara beroperasi seperti biasa meskipun negara tersebut masih melaporkan lebih 1,000 kes baharu setiap hari, lapor agensi Anadolu.

    Menurut kenyataan Pusat Tindakan dan Operasi Nasional yang memantau pencegahan virus negara, sekatan terhadap semua tempat awam ditamatkan serta merta, manakala makan dan minuman di dalam premis dan majlis perkahwinan, kunjungan ke pawagam dan rumah ibadat dibenarkan mulai 15 Mac.

    “Pemakaian penutup mulut dan hidung, penjarakan sosial, dan kawalan pergerakan masih diteruskan,” kata kenyataan itu.

    Keputusan itu boleh disemak semula bergantung kepada keperluan, tambah kenyataan itu.

    Negara Asia Selatan dengan penduduk melebihi 200 juta orang itu melaporkan penurunan kes baharu dan kematian yang ketara dalam beberapa minggu lalu. Namun masih mencatatkan lebih 1,000 kes harian, dan puluhan kematian.

    Setakat Rabu, jumlah keseluruhan kes jangkitan sejak Mac 2020 mencecah 574,580 dengan kira-kira 12,708 kematian.

    Islamabad telah memulakan kempen vaksinasi kepada petugas kesihatan barisan hadapan dan rakyat berusia 65 tahun ke atas.

    Bulan lalu, kerajaan mengumumkan akan memperoleh 17 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca melalui inisiatif COVAX dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Pengawal selia ubat-ubatan negara itu setakat ini telah meluluskan penggunaan kecemasan Sinopharm China dan CanSino, Oxford-AstraZeneca, dan vaksin Sputnik Rusia. –Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda