LONDON, 25 OGOS – Rekod tanpa kemenangan Patrick Vieira sebagai pengurus masih berterusan selepas Crystal Palace tewas 1-0 di tangan Watford dalam perlawanan Piala Liga pusingan kedua, kelmarin.
Vieira menggantikan Roy Hodgson sebagai pengurus pada tamat musim, namun bekas pemain tengah Arsenal dan Perancis itu mengharungi permulaan ngeri di kelab selatan London tersebut.
Palace ditundukkan Chelsea 3-0 semasa perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris sebelum mencatatkan keputusan seri 0-0 menentang pasukan yang baharu dipromosikan, Brentford, pada Sabtu lalu.
Harapan untuk mencatat kemenangan sulung dan gol pertama selepas memegang jawatan, Vieira menurunkan pasukan yang kuat ketika berkunjung ke Vicarage Road dalam pertemuan Piala Liga.
Meskipun dengan kehadiran penyerang Ivory Coast, Wilfried Zaha, Palace sekali lagi gagal menembusi gawang lawan dan jaringan hasil Ashley Fletcher pada minit ke-86 memberikan kekalahan kedua buat Vieira.
Ketika perlawanan menghampiri penentuan penalti, Cucho Hernandez melakukan hantaran lintang dan mencari Fletcher yang kemudian dengan mudah menjaringkan gol buat Watford.–AFP
