Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Palace lebur rekod tanpa kalah Liverpool

    LONDON, 28 SEPT – Rekod sempurna Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris berakhir selepas tewas mengejut 2-1 kepada Crystal Palace, semalam.

    Palace kini menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam Liga Perdana Inggeris selepas melanjutkan rekod tanpa kalah kelab itu kepada 18 perlawanan dalam semua kejohanan, termasuk tiga perlawanan menentang Liverpool.

    “Inilah detik-detik mengapa kita meminati bola sepak. Para penyokong pasti akan menikmati malam Sabtu yang hebat,” kata ketua jurulatih Palace, Oliver Glasner.

    “Kami layak meraih kemenangan ini. Persembahan hebat, perlawanan hebat, kemenangan hebat.”

    Juara Inggeris itu akhirnya dihukum selepas satu lagi prestasi hambar, setelah diselamatkan oleh beberapa siri gol lewat dalam lima kemenangan awal liga mereka.

    Eddie Nketiah menjaringkan gol kemenangan lewat dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Crystal Palace dan Liverpool di Stadium Selhurst Park, London selatan pada 27 September. – AFP

    Ismaila Sarr membuka jaringan buat pemenang Piala FA selepas Liverpool gagal mengawal sepakan sudut.

    Liverpool hampir diselamatkan sekali lagi oleh gol lewat apabila Federico Chiesa menyamakan kedudukan pada minit ke-87 selepas menyambar bola muntah dalam kotak penalti.

    Namun kali ini, The Reds pula menjadi mangsa jaringan lewat. Nketiah tenang menyudahkan bola di kawasan penalti yang sesak dengan sepakan terakhir perlawanan.

    Kemenangan itu sekali gus membawa Palace naik ke tangga kedua, hanya tiga mata di belakang Liverpool di puncak liga.

    Sementara itu, Arsenal kini berpeluang kembali ke tangga kedua dan mengurangkan jurang dengan pencabar kejuaraan itu kepada dua mata apabila pasukan bertandang ke Newcastle hari ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda