Wednesday, December 25, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Palang Merah rayu bantuan AS$145 juta untuk Syria

    GENEVA, 24 DIS – Palang Merah kelmarin melancarkan rayuan kecemasan berjumlah 130 juta franc Swiss (AS$145 juta) bagi membantu berjuta-juta rakyat Syria pulang ke rumah dan kawasan kejiranan yang musnah selepas kejatuhan pemimpin terdahulu, Bashar al-Assad.

    Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) berkata wang itu adalah untuk ‘penjagaan kesihatan kritikal, bekalan makanan dan tempat tinggal yang sangat diperlukan; bantuan tunai dan sokongan psikologi bagi mereka yang mengalami trauma; di samping bantuan kepada keluarga yang cuba mengesan orang tersayang yang telah hilang semasa konflik 13 tahun’ yang berakhir dengan penyingkiran Assad oleh pakatan pejuang diketuai Islam awal bulan ini.

    “Dana itu akan disalurkan kepada Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) untuk memberikan bantuan penting kepada masyarakat di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Ia berkata bantuan itu, yang disasarkan untuk menyokong aktiviti SARC selama sekurang-kurangnya 12 bulan, akan membantu kira-kira lima juta orang.

    “Tumpuan kami sekarang adalah untuk membantu menyelamatkan nyawa penduduk. Pasukan SARC menyediakan penjagaan kritikal melalui ambulans, klinik bergerak dan pusat kesihatan, manakala cawangannya mengedarkan bekalan penting seperti makanan dan air,” kata pengarah wilayah IFRC, Hossam Elsharkawi.

    “Seluruh bandar dan kampung telah musnah dalam serangan berusia lebih 10 tahun,” tambahnya.

    IFRC berkata dana itu juga boleh membantu sekutunya di negara jiran ‘sekiranya keperluan orang yang berpindah dari atau ke Syria berubah atau meningkat dalam beberapa bulan akan datang.’ – AFP

    Gambar fail menunjukkan seorang warga Syria yang tinggal di Turkiye membawa barang keperluan di sempadan Cilvegozu di Reyhanli pada 12 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda